PETALING JAYA, 28 April (IKIM) – Industri kreatif tanah air kini dimeriahkan lagi menerusi pelancaran Idea Live Arena di pusat membeli belah 3 Damansara pada Ahad (27 April).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib berkata Idea Live Arena bakal mengukuhkan aspirasi Malaysia sebagai hab kreatif serantau.
“Tempat ini dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan terkini (state-of-art equipment) serta mempunyai potensi menjadi pentas konsert dan pameran berskala antarabangsa,” ujar beliau.

“Ia menandakan langkah baharu dalam landskap hiburan negara, membuka peluang besar kepada bakat tempatan dan menarik perhatian pelancong serantau serta antarabangsa.”
Menurut Azmir, arena tersebut dapat memuatkan kapasiti 7,000 pengunjung menerusi pelaburan RM40 juta yang menampilkan sistem audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia.
Kemudahan eksklusif termasuk lima kotak VIP dan bilik persalinan artis serba lengkap juga tersedia dalam arena tertutup terbesar dalam pusat beli-belah negara ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Azmir bersama pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) Tan Mei Phing, dan disaksikan pemain industri serta peminat hiburan.
Dato’ Sheila Majid turut hadir memeriahkan majlis dengan persembahan ikonik “Sinaran”, menyerlahkan keunggulan sistem siar-raya terkini di arena itu.
Turut hadir, Puteri Selangor, Yang Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.