KANGAR, 28 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan al-Quran perlu menjadi asas untuk mengangkat martabat umat Islam di Malaysia dalam membina tamadun dan negara MADANI.
“Kita harus membangun dengan kekuatan dalaman bukan sahaja aspek akhlak dan nilai tetapi kekuatan keseluruhannya merangkumi aspek kekeluargaan dan masyarakat,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Pada masa sama, beliau berkata penguasaan bahasa, digital dan kecerdasan buatan harus diberi tumpuan bagi mengelakkan umat Islam ketinggalan dalam bidang terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan malam tadi berkata seramai 109 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian, melibatkan 28 peserta kategori Tilawah Al-Quran (14 qari, 14 qariah serta seorang johan menunggu qariah) dan 81 peserta kategori Hafazan Al-Quran.
Johan MTHQK 2025 akan mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

“Penganjuran MTHQK saban tahun merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh usaha pembangunan ummah berteraskan aspirasi Malaysia MADANI,” kata beliau.
Malam pembukaan MTHQK 2025 turut memperdengarkan bacaan qari Negeri Sarawak, Mohamad Faizzil Affandi dan qariah Negeri Sabah, Nadirah Syazwani Sapari.
Penganjuran tahun ini juga menandakan edisi ke-67 bagi kategori tilawah dan ke-45 bagi kategori hafazan dan bersiaran langsung di RTM1, IKIMfm, TV Alhijrah dan tvIKIM dari 27 April sehingga 2 Mei.
Gambar : FB Anwar Ibrahim