VIPKI MUSIM KE-3 PERTARUHKAN RM15,000 BUAT PELAJAR IPT

KUALA TERENGGANU, 20 April (IKIM) – Pertandingan Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pertaruhkan RM15,000 buat pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata melalui VIPKI, IKIM ingin mencapai beberapa perkara, antaranya penglibatan ramai anak muda; komitmen mereka dalam memahami dan menyampaikan mesej Islam melalui video pendek; serta penggabungan dan sinergi antara pelajar Malaysia dan antarabangsa (Islam dan bukan Islam) untuk menghasilkan karya yang hebat.

“Perkara ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangun Malaysia MADANI yang tidak hanya mengutamakan nilai ilmu, tetapi juga nilai ketamadunan yang hanya terwujud melalui perpaduan dan kebersamaan demi membina negara bangsa yang progresif,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan VIPKI 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) di sini, semalam. 

Pertandingan yang memasuki musim ke-3 tahun 2025 ini membawa tema MADANI dengan 6 nilai yang boleh dipilih oleh para peserta terdiri daripada Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

VIPKI 2025 mengetengahkan kelainan yang mana peserta boleh melibatkan pengkarya profesional, pensyarah, atau tenaga pengajar sebagai pembimbing para pelajar mencapai terjemahan tema MADANI dan berkualiti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail dalam wawancara santai ketika majlis pelancaran berkata dua perkara akan dilihat dalam aspek penilaian iaitu kandungan mesej dan bagaimana mesej tersebut disampaikan.

Beliau yang juga ketua juri VIPKI 2025 menambah kekuatan pertandingan ini adalah visual serta kreativiti anak muda akan diuji dalam menghasilkan karya yang berkualiti serta bagaimana mesej yg penting akan disampaikan menerusi visual.

Bagi Penyelaras VIPKI, Nor Haffizah Razak mengharapkan VIPKI 2025 dapat mengangkat nilai teras MADANI dengan perspektif islami yang penuh hikmah, segar dan mudah difahami agar dapat dihayati oleh sleuruh rakyat Malaysia dalam membangun Malaysiq MADANI. 

Tempat kedua VIPKI 2025 menawarkan hadiah RM10,000 manakala tempat ketiga RM5,000.

VIPKI 2023 menobatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai johan dengan membawa tajuk ‘Kopi’ dan tahun lalu al-Bukhary International University mendapat tempag pertama dengan judul video ‘Kembali’.

Pelajar IPT yang ingin menyertai VIPKI 2025 boleh melayari laman web rasmi IKIM di www.ikim.gov.my dan tarikh tutup penyertaan 31 Julai 2025. 

Turut hadir Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali dan barisan penyampai IKIMfm.

WhatsApp
Scroll to Top