IKIM KESAL KESILAPAN PAPARAN JALUR GEMILANG

KUALA LUMPUR, 18 April (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melahirkan rasa kesal terhadap kesilapan dua akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh dan Sin Chew Daily, yang menyiarkan imej Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan penerbitan mereka baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, kesilapan itu melibatkan ketiadaan simbol bulan sabit pada bendera Malaysia, yang merupakan lambang penting mewakili Islam sebagai agama Persekutuan.  

“Jalur Gemilang bukan sekadar lambang kebangsaan, tetapi juga mencerminkan identiti, kedaulatan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

IKIM memandang serius sebarang kesilapan melibatkan pemaparan bendera kebangsaan, sama ada disengajakan atau sebaliknya, kerana ia boleh menimbulkan sensitiviti dan menggugat keharmonian masyarakat.  

Justeru, IKIM menyeru semua pihak media agar lebih berhati-hati dan meneliti kandungan yang diterbitkan, khususnya apabila melibatkan simbol-simbol kebangsaan. Ia turut menggesa agar proses semakan dan pengawasan terhadap penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penyuntingan dipertingkatkan.

Sebagai institusi yang mempromosikan perpaduan dan kefahaman antara kaum, IKIM menggesa rakyat Malaysia untuk menangani isu ini secara matang dan dengan saling menghormati.  

“Dialog yang konstruktif serta kesediaan untuk belajar daripada kesilapan amat penting dalam mendepani isu seumpama ini,” jelas beliau.

Beliua turut menyeru agar semua pihak, termasuk media dan pemimpin masyarakat, terus memastikan Jalur Gemilang dihormati sebagai lambang kesetiaan kepada negara.  

IKIM dalam pada itu menegaskan komitmennya dalam memupuk perpaduan nasional, dan berharap insiden ini menjadi pengajaran buat semua agar lebih menghargai simbol kebangsaan.

WhatsApp
Scroll to Top