KUALA LUMPUR, 15 April (IKIM) – Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan tokoh negarawan unggul dan Bapa Pembangunan Modal Insan yang telah memainkan peranan besar dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmah kepada semua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata pendekatan beliau yang sederhana dan inklusif melalui gagasan Islam Hadhari telah memberi impak besar terhadap pembangunan hal ehwal agama di negara kita.
Beliau berkongsi perkara tersebut di catatan facebook beliau hari ini.
Mohd Na’im turut hadir ke Masjid Negara bagi memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima itu yang dikebumikan di Makam Pahlawan di sini hari ini.

“Negara kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa besar,” katanya lagi sambil mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Beliau dalam pada itu turut berkongsi sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan agama Islam di Malaysia antaranya menyandang jawatan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) antara 2003 hingga 2009.
“Allahyarham turut menyelaras hala tuju pentadbiran Islam di peringkat nasional serta memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, satu pendekatan Islam sederhana, inklusif dan bersesuaian dengan masyarakat majmuk yang menjadi asas kepada pembaharuan pemikiran Islam secara hikmah dan kasih sayang,” ujar beliau.
Tun Abdullah juga memulakan Program J-QAF pada 2005 yang memberi impak besar kepada pendidikan Islam sekolah rendah, dengan penekanan kepada Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain selain turut memacu industri halal negara menerusi penubuhan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) pada 2004 dan Halal Development Corporation (HDC) pada 2006.
“Allahyarham Tun Abdullah juga melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang memperkenalkan penempatan kader JAKIM di kementerian bagi menerapkan nilai Islam dalam sistem pentadbiran awam,” tambah beliau.
Sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan Islam turut terlihat dengan penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 2004 selain turut menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai pengerusi dari 2009 hingga 2018, menjadikan IKIM sebagai pusat kefahaman Islam berasaskan ilmu dan prinsip wasatiyyah.
Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam semalam. Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.