PEMERGIAN PAK LAH KEHILANGAN BESAR BUAT SARAWAK – FADILLAH

KUALA LUMPUR, 15 April –  Pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam bukan sahaja merupakan kehilangan besar kepada negara, malah turut dirasai oleh penduduk Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Perdana Menteri kelima itu banyak menyumbang kepada pembangunan Bumi Kenyalang, antaranya melalui inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang terbukti berjaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.

“Ini merupakan satu kehilangan besar buat kita. Allahyarham seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri dan negara ini.

“Bagi pihak diri saya, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh rakyat Sarawak, kami merakamkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah dan seluruh keluarga Allahyarham,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengebumian Negara Tun Abdullah di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Istiadat Pengebumian hari ini, Fadillah berkata segalanya berjalan lancar dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan istiadat tersebut.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan, pengurusan Masjid Negara, bahagian protokol dan semua yang terlibat hari ini,” katanya.

Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam semalam.

Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.

Sumber : BERNAMA

WhatsApp
Scroll to Top