ARAB SAUDI BERI AMARAN TERHADAP SALURAN TIDAK RASMI BAGI JEMAAH HAJI

JEDDAH, 9 April – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi amaran kepada mereka yang berhasrat menunaikan ibadah haji agar tidak berurusan melalui saluran tidak rasmi, sambil menegaskan bahawa kemasukan bagi tujuan haji mesti melalui visa haji rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi, menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Visa boleh diuruskan melalui penyelarasan dengan pejabat urusan haji di 80 negara atau menerusi platform Nusuk Hajj yang ditetapkan bagi jemaah dari lebih 126 negara, membolehkan tempahan dibuat secara terus menerusi platform berkenaan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan bahawa “portal elektronik” di laman sesawang rasminya (https://masar.nusuk.sa) serta aplikasi Nusuk merupakan satu-satunya saluran yang diluluskan bagi jemaah haji tempatan – warganegara dan penduduk dalam Kerajaan Arab Saudi – untuk menempah pakej haji.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa sebarang maklumat atau tawaran yang disebarkan menerusi saluran tidak rasmi adalah mengelirukan dan tidak mewakili kementerian atau pihak berkuasa berkaitan. Orang ramai digesa untuk mengesahkan maklumat dan mengelak daripada terpedaya dengan iklan palsu atau tawaran haji palsu.

Selain itu, kementerian berkenaan menyediakan sokongan pelbagai bahasa 24 jam melalui Pusat Penjagaan Tetamu bagi sebarang pertanyaan atau aduan. Ia boleh dihubungi menerusi talian hotline di 1966 bagi panggilan dalam Arab Saudi, nombor antarabangsa +966920002814 bagi panggilan dari luar Arab Saudi serta e-mel care@haj.gov.sa.

Sumber : BERNAMA

Gambar : Agensi Berita Arab Saudi (SPA)

WhatsApp
Scroll to Top