JIHAD: KEWAJIPAN UMAT YANG SUDAH LAMA TERTANGGUH

7 Oktober 2023 menjadi detik hitam dalam sejarah dunia apabila Israel melancarkan serangan berdarah di Semenanjung Gaza. Sejak itu, serangan bertubi-tubi telah dilancarkan ke atas bumi Palestin, mengorbankan lebih daripada 48,300 nyawa umat Islam yang majoriti terdiri daripada wanita, kanak-kanak, dan warga emas. Selepas lima belas bulan pembantaian berdarah atau genosid berlangsung di bumi Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, Israel dan Hamas akhirnya bersepakat untuk melaksanakan gencatan senjata. Perjanjian yang terdiri dari tiga fasa itu termeterai pada 19 Januari 2025, antaranya menyaksikan penukaran tebusan perang dan menghentikan pertempuran antara kedua-dua pihak. 

Namun, ketenangan yang dirasai oleh umat Islam di bumi Palestin itu tidak kekal lama, apabila Israel kembali mencabuli perjanjian gencatan senjata hanya selepas 42 hari, iaitu pada 19 Mac 2025. Serangan yang tidak berperikemanusiaan ini sangat merobek hati umat Islam di seluruh dunia, apatah lagi ia dilaksanakan dalam bulan Ramadan. Angka nyawa yang terkorban juga semakin meningkat, mencecah 50,695 nyawa yang syahid dan 115,338 cedera sejak 7 Oktober 2023.

Sudah tiba masanya umat Islam seluruh dunia bersatu padu dan bekerjasama untuk membebaskan tanah suci umat Islam dari pencerobohan keji Israel. Maka, fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada 7 April 2025 lalu mewajibkan umat Islam untuk menyahut seruan jihad untuk membebaskan Palestin adalah tepat pada masanya untuk menggerakkan kesepakatan umat Islam di seluruh dunia. Perbincangan berkenaan fatwa ini telah diketengahkan dalam rancangan Cinta Palestin melalui Slot Inspirasi Jiwa pada 8 April 2025, jam 4.10 petang, bersama Penasihat Kehormat MyCARE, Dr. Hafidzi Mohd Noor, dalam episod bertajuk “Rangkuman Kekejaman Terhadap Palestin & Fatwa Berjihad Untuk Palestin” yang dikendalikan oleh Siti Rohani Surani.

Fatwa Jihad bukan perkara baharu

Sememangnya jihad ini sudah lama dianjurkan dalam Islam. Dr. Hafidzi berkata bahawa keempat-empat mazhab menukilkan bahawa umat Islam wajib mempertahankan diri mereka dan tanah air dari serangan pihak luar terutamanya orang bukan Islam. Bahkan, umat Islam di Palestin khususnya Gaza terlebih dahulu menyambut seruan jihad ini, dengan mempertahankan negara mereka seboleh mungkin dari dicerobohi Israel. Pasukan ketenteraan Hamas yang terdiri daripada anak-anak muda yang juga mangsa genosid ini adalah bukti akan ketegasan mereka untuk memelihara tanah air. Hal ini kerana Gaza dan Palestin keseluruhannya telah lama terlibat dalam kancah perang sejak kurun ke-19, di mana Deklarasi Balfour 1917 menyaksikan sokongan dunia menerusi pengiktirafan kerajaan British akan penubuhan negara Yahudi di atas tanah Palestin itu. Maka, sudah jelas bahawa tuntutan Jihad ini sudah lama terlaksana dan disambut baik oleh umat Islam.

Namun, keadaan Semenanjung Gaza yang semakin teruk hari demi hari, dimana kemusnahan infrastruktur seperti hospital secara besar-besaran mengancam kelangsungan hidup dan masa depan penduduk Gaza akibat serangan Israel yang tidak henti-henti sudah tentu tidak dapat dipulihkan oleh penduduk Gaza secara sendirian. Oleh itu, menjadi tanggungjawab umat Islam di seluruh dunia untuk menyelamatkan penduduk Gaza, serta mempertahankan tanah suci umat Islam ini. Maka, fatwa Jihad yang baru dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia ini dilihat tepat pada masanya untuk menghentikan pembantaian zalim oleh Israel ini.

Dr. Hafidzi berkata, fatwa ini merupakan penegasan atas pentingnya tuntutan jihad ini kepada umat Islam dan memuatkan sepuluh kewajipan kepada pemimpin negara umat Islam di seluruh dunia akan kewajiban berjihad serta tindakan segera berkenaan pencerobohan Gaza dan pelanggaran gencatan senjata di Palestin, yang intipatinya merangkumi pelbagai aspek termasuk logistik, kewangan serta ketenteraan.

Menurut fatwa tersebut, jelas bahawa negara-negara Islam sudah wajib campur tangan dan memberi sokongan dari segi ketenteraan untuk mengekang dan menghentikan pencerobohan Israel di Gaza. Negara-negara Islam yang berdekatan juga wajib mengepung musuh dari darat, laut dan udara termasuk menutup laluan air, selat dan ruang udara milik negara-negara Islam. Dr. Hafidzi berkata umat Islam perlu mempertahankan saudara di Gaza dengan menggunakan kekerasan.

“Mereka (Israel) telah menggunakan segala kekuatan yang ada, segala senjata yang canggih untuk membedil dan menzalimi saudara-saudara kita, sehingga setiap hari lebih 100 mangsa yang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, dibunuh dgn cara yang tak boleh digambarkan akan kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan,” ujarnya.

Fatwa tersebut juga mewajibkan negara umat Islam untuk membina pakatan secara ketenteraan, serta menilai semula perjanjian damai di antara negara-negara Islam dengan Israel. Menurut Dr. Hafidzi, terdapat beberapa negara Islam yang mengiktiraf kewujudan negara Israel serta menjalinkan hubungan diplomatik di atas faktor ekonomi dan sejarah, termasuk Turkiye, Mesir dan Jordan. 

Pengiktirafan Turkiye ke atas negara Israel berlaku ketika gagasan sekularisme Kamal Ataturk pada 1949 yang membawa kepada penubuhan hubungan diplomatik, pakatan ketenteraan serta menjadi rakan dagangan yang penting. Mesir dan Jordan juga terikat dengan Israel, masing-masing menerusi Perjanjian Kem David 1978 dan Perjanjian Washington 1994. Justeru, negara-negara ini memerlukan pakatan kuat bersama negara Islam yang lain untuk memutuskan hubungan diplomatik dan perjanjian damai yang dibina bersama Israel, ujar Dr. Hafidzi.

“Kita lihat juga kewajipan ini bukan sahaja merangkumi soal logistik dan kemanusiaan dan desakan di platform di antarabangsa, desakan ICC, ICJ, United Nation, ASEAN… semua itu perlu diperkasakan dan pertingkatkan bagi memberikan pemerkasaan kepada semua umat Islam.”

Dr. Hafidzi sekali lagi menegaskan bahawa fatwa jihad ini bukan lah sesuatu yang baharu, bahkan ianya sebuah tuntutan yang sudah lama tertangguh. 

“Fatwa jihad bukan sesuatu yang baru, tetapi adalah satu penegasan dan penolakan agar seluruh umat Islam mengambil serius sebuah kewajiban yang telah lama tertangguh untuk dilaksanakan.” 

“Ini adalah intipati yang menggariskan dan menjelaskan apa itu tanggungjawab umat Islam seluruh dunia tanpa sebarang pengecualian untuk membebaskan Gaza daripada kepungan ini.”

Peranan baharu umat Islam

Tuntasnya, pemasyhuran fatwa akan kewajipan jihad bersenjata ini mencorakkan realiti baharu untuk umat Islam di seluruh dunia. Dr. Hafidzi menegaskan akan pentingnya umat Islam meningkatkan kesedaran mereka mengenai Gaza dan Palestin melalui ilmu pengetahuan. Hal ini kerana peperangan yang berlangsung di Gaza dan Palestin bukanlah peperangan di antara dua pihak yang berkepentingan, bahkan ia adalah peperangan untuk membebaskan tanah suci yang telah ditawan musuh sejak puluhan tahun lalu. 

“Bagi mereka yang kurang mengambil tahu, sekarang inilah masa untuk mereka memperkasakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan mengenai Palestin dari segi sejarahnya, tuntutan dan realiti semasa dan apakah kewajipan umat Islam. Melalui kesedaran ini, kita bina kekuatan, sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat, NGO dan akhirnya di peringkat negara.”

“Pemimpin-pemimpin negara Islam mesti mengambil inisiatif untuk memimpin pandangan umum masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel dan Amerika Syarikat,” ujar beliau. Dr. Hafidzi turut memuji usaha kerajaan Malaysia yang proaktif terhadap pemasyhuran fatwa tersebut.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Menteri Agama Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi, memberikan satu komitmen yang mereka akan mengkaji tentang implikasi fatwa ini dengan menggerakkan semua institusi-institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk sama-sama bermuzakarah bagaimana untuk melaksanakan tuntutan jihad yang merupakan satu kewajipan yang tidak boleh kita tangguhkan lagi.”

Kezaliman Israel di Gaza telah mendapat kecaman antarabangsa. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan pada November lalu. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga memfailkan dakwaan genosid terhadap Israel. Namun begitu, Israel seolah-olah kebal dan terus melakukan pembantaian ke atas umat Islam di bumi Al-Quds. Semoga dengan pemasyhuran fatwa ini, tanah suci umat Islam dapat dibebaskan dan kembali menjadi milik kita.

Artikel ini disediakan oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top