IKIMfm & GALERI ILMU SANTUNI ANAK YATIM JALINAN KASIH

CHERAS, 24 Mac (IKIM) – Penyampai-penyampai IKIMfm dan warga kerja Galeri Ilmu Media Group (Galeri Ilmu) meraikan anak-anak yatim asnaf di Rumah Jalinan Kasih di sini semalam. 

Seramai 40 anak-anak yatim diraikan dalam satu majlis di Rumah Jalinan Kasih Anak Yatim/Miskin Cheras yang turut dimeriahkan dengan kehadiran karakter kanak-kanak yang tidak asing lagi dalam kalangan pembaca Majalah Anis terbitan Galeri Ilmu, Anas dan Anis. 

Dalam majlis yang bermula sekitar jam 6 petang itu, adik-adik Rumah Jalinan Kasih diperkenalkan dengan barisan penyampai IKIMfm yang hadir antaranya Suffian Amrin, Tyzo Xender, El-Muhsin, Norhayati Paradi, Syafiq Salleh dan Batrisyia Afrina yang kemudiannya turut menyampaikan cenderamata IKIMfm dan duit raya kepada anak-anak ini. 

Berkongsi kisah perjalanan Rumah Jalinan Kasih, Pengurusnya yang dikenali dengan Ibu Ella menceritakan bagaimana Rumah Jalinan Kasih yang diusahakan beliau bersama jawatankuasa yang lain telah bermula 14 tahun yang lalu dengan belanja sekitar RM1.8 juta untuk rumah dan telah membantu serta membesarkan anak-anak yatim asnaf seramai 200 orang. 

Program yang mendapat penajaan dan kerjasama Galeri Ilmu ini turut menampilkan Imam Muda Megat berkongsi tazkirah buat anak-anak ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu, Tn, Hj. Mohd Yusri Mohd Yusof berkongsi rasa syukur dapat berkolaborasi bersama IKIMfm dalam menyantuni dan mendekati golongan yang memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan ini. 

“Semoga usaha kita dan sifat ingin menyayangi dan santuni anak-anak yatim ini, Allah berkati kita di bulan Ramadan ini,” ujar beliau. 

Tetamu yang hadir kemudiannya berbuka puasa bersama-sama dan solat Maghrib berjemaah. 

Turut hadir dalam majlis ini Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Hj. Ahmad Fuad Mat Ali; Pemangku Pengurus Besar Kanan Pusat Media IKIM, Hj. Mahathir Shaharuddin; dan Pengurus Besar IKIMfm, Erwan Johari. 

WhatsApp
Scroll to Top