TABUNG HAJI UMUM DIVIDEN 3.25% SELEPAS ZAKAT

KUALA LUMPUR, 21 Mac (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kadar agihan keuntungan adalah pada kadar 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 berbanding 3.1 peratus pada 2023 selepas zakat. 

Kadar ini dicapai selepas pelunasan zakat yang bernilai 2.5775 peratus bersamaan RM 99.35 juta.

Kadar dividen ini adalah kadar tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh tujuh tahun sejak tahun 2018, menjadikan jumlah agihan keuntungan sejak penubuhan TH 61 tahun lepas terkumpul sebanyak RM45.79 bilion.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, agihan keuntungan yang berjumlah RM2.92 bilion akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata TH berjaya mencatat pulangan pendapatan sebanyak 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, bantuan kewangan haji dan kos operasi.

Kadar keuntungan ini berjaya dicapai hasil pelaburan hemat serta prestasi pasaran saham domestik yang memberangsangkan, katanya.

Pendapatan keseluruhan TH telah meningkat sebanyak 6.29 peratus kepada RM 4.56 bilion berbanding RM 4.29 bilion pada tahun 2023, berjaya dilaksanakan hasil strategi pelaburan TH berasaskan Alokasi Aset Strategik yang membabitkan instrumen pendapatan tetap (sukuk), ekuiti, hartanah, serta instrumen pasaran wang (money market). 

Tambahnya, sukuk menjana pendapatan TH paling besar sebanyak 50 peratus diikuti ekuiti dengan 35 peratus.

91.06 peratus pendapatan keseluruhan TH untuk tahun 2024 disumbangkan oleh pelaburan dalam negara.

Kos operasi yang berjaya diturunkan sebanyak 4.26 peratus turut menyumbang kepada peningkatan kadar dividen tahun 2024.

Ketika ditanya mengenai perancangan pelaburan untuk tahun 2025, Syed Hamadah berkata, prestasi ekonomi tahun ini dijangka akan lebih mencabar akibat perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan negara-negara besar lain yang akan menyumbang kepada ketidakstabilan pasaran saham.

“TH akan terus mengekalkan disiplin dalam menguruskan portfolio pelaburan dengan mengutamakan pemeliharaan modal, pelaburan yang bersifat selamat serta mampu memberikan pulangan dividen yang mampan dan lestari,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Na’im turut berkata bahawa TH terus menyantuni lebih 670 ribu golongan asnaf menerusi pelunasan zakat kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri sebanyak RM 99.35 juta pada kadar 2.5775 peratus pada tahun 2024 menerusi Program Zakat Wakalah TH.

Secara keseluruhannya, 2.2 juta asnaf termasuk golongan miskin tegar telah berjaya menerima manfaat zakat menerusi program ini dengan pelunasan zakat berjumlah RM 1.47 bilion.

Pendeposit TH juga tidak perlu membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.

Dividen TH boleh disemak pendeposit dalam akaun masing-masing menerusi platform THiJARI, kaunter-kaunter Tabung Haji, Bank Islam dan Bank Rakyat atau platform elektronik Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamik pada hari Ahad, 23 Mac 2025 ini.

Turut hadir sama dalam sidang media ialah Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman, serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.

Oleh Husna Fathiyyah binti Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top