99 PERATUS PELAJAR LULUS UPKK 2024

PUTRAJAYA, 20 Mac (IKIM) – Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2024 mencapai prestasi yang membanggakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.

UPKK merupakan peperiksaan yang dilaksanakan kepada murid-murid tahun lima Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi mengukur tahap pencapaian mereka setelah mengikuti pembelajaran KAFA berdasarkan kurikulum yang ditetapkan.

Beliau berkata terdapat peningkatan yang membanggakan dalam keseluruhan aspek UPKK bagi tahun 2024.

Hal ini kerana kohort calon UPKK 2024 kohort kali ini adalah hasil penggunaan silibus baru KAFA 2.0 yang telah diguna pakai bermula tahun 2020. UPKK 2024 ini turut menyaksikan pertambahan mata pelajaran kepada 9 berbanding 8 pada tahun lepas. 

Sebanyak 22,351 calon berjaya mencapai 9A dalam UPKK 2024.

Mohd Na’im berkata, nilai Gred Purata Skor (GPS) UPKK untuk tahun 2024 ialah 1.85 mata berbanding 1.89 mata pada tahun 2023, menunjukkan peningkatan yang baik dari segi pencapaian calon.

Peratusan calon lulus bagi kebanyakan mata pelajaran UPKK juga mencapai antara 83 peratus dan 99 peratus.

Lebih signifikan lagi, isu ketidakhadiran calon UPKK 2024 turut berjaya mencapai penurunan sebanyak 31 peratus (1,464 calon) berbanding tahun lepas.

“Ramai pelajar yang hadir menggambarkan tahap keyakinan pelajar, ibu bapa dan guru-guru kepada UPKK itu sendiri,” ujar beliau

Beliau mengumumkan keputusan keseluruhan UPKK 2024 di Lobi Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada 9.30 pagi hari ini (20 Mac).

“Walaupun jumlah mata pelajaran bertambah, namun pelajar-pelajar ini masih komited, rajin untuk mengikuti peperiksaan UPKK. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dengan cemerlang,” kata Mohd Na’im. “Saya sangat-sangat berpuas hati. Tetapi seperti biasalah, ada ruang untuk kita perbaiki.”

Keputusan peperiksaan UPKK tahun 2024 boleh disemak menerusi laman sesawang https://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan Nombor MyKid dan Nombor Angka Giliran, bermula hari ini (20 Mac) pada jam 2.00 petang. Slip keputusan penuh pula boleh diperoleh di sekolah masing-masing pada 21 Mac 2025 bermula jam 9.30 pagi.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top