KUALA LUMPUR, 19 Mac (IKIM) – 30 orang kurang upaya penglihatan (OKU) terima kad debit khas oleh Bank Rakyat hari ini.
Memahami kesukaran yang dihadapi golongan OKU untuk membezakan kad-kad debit yang pelbagai, Bank Rakyat mereka cipta Touch Card Debit-i dan Kredit-i dengan ciri lekuk istimewa untuk memudahkan urusan mereka sehari-harian.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, kad perbankan patuh syariah ini akan diberikan kepada 30 orang OKU dari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS).
Menerusi kerjasama antara PERTIS dan Bank Rakyat, ahli-ahli PERTIS ini juga akan menerima insentif sebanyak RM 200 menerusi kad debit itu yang akan tersedia pada April 2025.
Beliau berkata demikian di dalam Majlis Hulurkan Salam Bank Rakyat yang bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman berkata Bank Rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mencipta solusi bagi memudahkan urusan pelbagai pihak.
“Moving forward, kita nak provide solution, bukan sahaja menjual produk, tetapi juga membantu orang-orang kurang upaya.”
Tambah beliau, sebagai solidariti kepada OKU penglihatan, Bank Rakyat mensasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 300 ribu kad perbankan khas ini kepada semua pelanggan baharu dan lama.
Sementara itu dalam majlis yang sama, Bank Rakyat turut meraikan individu-individu bertuah yang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi dua kempen Bank Rakyat.
Seramai 73 pemenang Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Fasa Kedua membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM 400 ribu termasuk hadiah utama kereta elektrik BYD Atto 3, motosikal BMW CE 04 dan pakej umrah atau percutian untuk dua orang bernilai RM 20 ribu.

Manakala 315 pemenang Kempen Emas 2 Kilo memenangi hadiah keseluruhan berupa dua kilo emas.
Khairudin turut menjelaskan bahawa hadiah-hadiah ini telah menarik minat pelbagai lapisan masyarakat di mana mereka menyaksikan sebanyak 80 ribu individu membuat permohonan pembiayaan peribadi di Bank Rakyat.
Majlis ini turut melancarkan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan usahawan dan koperasi di seluruh negara termasuk pelancaran Bazar Riang Raya yang membabitkan lebih 100 gerai usahawan, kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dan pelancaran semula program Bank Rakyat BRKOP Lestari-i.

Mohamad Shiblie Abg Sapuan, Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat turut menegaskan akan kepentingan membantu golongan yang kurang atau tiada perkhidmatan (underserved and unserved).
“Hopefully, menerusi BRKOP Lestari-i, koperasi-koperasi kecil yang tidak dapat dibiayai oleh perbankan lain, akan datang ke Bank Rakyat untuk dibantu dan dibesarkan, moving forward.”
Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz