PUTRAJAYA, 11 Mac (IKIM) – Seluruh umat Islam diseru untuk menghayati pengisian al-Quran dalam memperkukuh semangat integriti dan bersikap amanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata agar daripada tadabbur ayat al-Quran kita dapat memahami serta punyai sifat amanah dan integriti dalam kehidupan kita.
“Bukan sahaja warga penguatkuasa bahkan seluruh masyarakat untuk menghayati hasrat Perdana Menteri yang sentiasa tekankan isu berkaitan amanah, integriti, menjauhkan diri dari amalan rasuah dan salah guna kuasa,”ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Erat Ramadan 2025 di sini hari ini.
Program anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ini dihadiri hampir 2000 orang di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan, khususnya 20 agensi seliaan EAIC.
Peserta yang hadir memulakan penghayatan al-Quran menerusi program EAIC Quran Hour bagi mentadabbur Surah As-Saff.

Mohd Na’im dalam ucapannya turut menekankan sekiranya ingin melihat masyarakat yang aman dan maju, kita mesti terlebih dahulu menjaga integriti dalam diri kita. Integriti bukan sekadar tidak berbuat salah, tetapi berusaha melakukan yang terbaik, berpegang pada janji yang telah kita buat, dan memastikan setiap tindakan kita selari dengan kata-kata kita.
“Sepertimana yang dipertegas oleh YAB Perdana Menteri yang mahu mengangkat negara ini menjadi negara madani, menjulang tinggi nilai keadilan dan berintegriti tinggi,” tambah beliau.
Peserta turut diberikan penghayatan menerusi forum yang menampilkan Samahah Dato’ Hj. Zamri Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak; Daie Izhar Nazri, Personaliti Dakwah; Ustaz Ahmad Tarmizi, Qari dan moderator Ustaz Mohammad Zarifi.

Turut hadir Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Pesuruhjaya EAIC dan Kolonel Datuk Hj. Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.