KUALA LUMPUR, 26 Februari (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sekali lagi telah berjaya menganjurkan majlis memasak dan seterusnya mengedar bubur lambuk kepada kakitangannya hari ini.
Saban tahun menjelang Ramadhan, Kelab IKIM menganjurkan aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong untuk diagihkan kepada kakitangan IKIM sebagai meraikan kehadiran bulan mulia itu.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil berkata, tradisi gotong-royong memasak bubur lambuk ini mencerminkan semangat kesediaan dan kesatuan kakitangan IKIM bekerjasama antara satu sama lain dalam pelbagai acara dan situasi.
Manakala Pengerusi Kelab IKIM, Encik Abu Bakar bin Yang berkata, program hari ini adalah program pertama Kelab IKIM pada tahun ini. Beliau turut menyeru warga kerja IKIM terus menyokong program-program anjuran Kelab IKIM yang akan datang.
Abu Bakar juga melahirkan rasa syukur atas kejayaan majlis ini, serta mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja yang terlibat.
Majlis tersebut juga menyaksikan pelancaran Tabung Wakaf Duit Syiling IKIM yang dilaksanakan oleh unit Wakaf IKIM bersempena bulan Ramadhan ini.
Gotong-royong memasak bubur lambuk ini turut dimeriahkan dengan acara memasak juadah makan tengah hari berupa nasi beriani kambing, kari kambing, ayam goreng berempah, dan jelatah.

Turut hadir dalam majlis ini, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail.
Wartawan : Husna Fathiyyah binti Mohd Fairuz