ISLAMICRUISE MERANCAKKAN TMM2026 DENGAN PELAYARAN MALAYSIA-ARAB SAUDI

KUALA LUMPUR, 22 Jan (IKIM) – IslamiCruise International Sdn. Bhd. bakal merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan pakej pelacongan pelayaran islamik menerusi pelayaran IslamiCruise Malaysia-Saudia. 

Pelayaran dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia ini dijangka menjana kemasukan sehingga 6,000 pelancong ke Malaysia antaranya pelancong dari Arab Saudi, negara-negara Timur Tengah serta pelancong dari Eropah dan Asia Tenggara. 

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat November tahun lalu, Malaysia merekodkan kehadiran seramai 4.82 juta pelancong Muslim dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM15 bilion, berbanding 4.5 juta dengan perbelanjaan RM14.7 bilion, pada 2023.

“Merujuk kepada unjuran pasaran, pelancongan Islam yang dijangka meningkat sekitar 1.2 peratus setiap tahun meletakkan Malaysia berada dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini menjelang 2028 dengan kerjasama erat dari semua pihak yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian IslamiCruise Malaysia-Saudia, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Pengasas IslamiCruise International Suhaimi Abd Ghafer.

Sementara itu, Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Tahun Melawat Malaysia 2026 turut menyasarkan kemasukan lebih 35.6 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan yang dapat dijana negara pada sekitar RM147.1 bilion.

“Besar harapan saya agar IslamiCruise Malaysia-Saudia yang dijangka mampu menarik lebih 70 peratus penumpang luar negara ini turut sama menyumbang secara signifikan bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata pelancaran IslamiCruise Malaysia-Saudia bukan hanya mencipta sejarah dalam industri pelancongan negara, tetapi turut membuka pintu peluang yang luas kepada pemain industri untuk terus berkembang serta memperkukuh hubungan diplomatik serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Syabas dan tahniah kepada IslamiCruise International Sdn Bhd kerana menjadi perintis dalam industri pelancongan Islam di atas kapal persiaran sejak 2014. Kejayaan selama lebih satu dekad ini pastinya menjadi inspirasi kepada kita untuk terus berinovasi dan menawarkan pengalaman pelancongan unik, menarik dan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata pelayaran IslamiCruise Malaysia-Saudia yang dijadualkan bermula pada Februari 2026, akan membuka peluang besar dalam mempromosikan pelancongan Islam negara ke peringkat global, selari dengan hasrat kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Pelayaran Malaysia-Saudia akan menyaksikan para pelancong berhenti di 3 lokasi menarik, Salalah, Oman; Male, Maldives; Banda Acheh, Indonesia; selain berpeluang menikmati lokasi-lokasi menarik di Malaysia dan Arab Saudi. 

WhatsApp
Scroll to Top