IKIM MENYAMBUT BAIK GENCATAN SENJATA, LANGKAH AWAL MENUJU KEAMANAN

KUALA LUMPUR, 17 Jan (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik langkah gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin di Gaza selepas 467 hari konflik bersenjata yang menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa di wilayah tersebut. 

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata gencatan senjata hasil rundingan intensif dengan pengantaraan Mesir dan Qatar, menandakan detik penting ke arah perdamaian dan kemerdekaan Palestin.

“IKIM melihat gencatan senjata ini sebagai satu perkembangan positif untuk meredakan penderitaan di Gaza dan memastikan keselamatan penduduk Palestin,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa gencatan senjata ini mencerminkan nilai perdamaian dan keadilan holistik yang perlu dipelihara.

Mohamed Azam turut memetik respon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres yang menyatakan persetujuan ini adalah peluang untuk memulakan dialog serius bagi menyelesaikan konflik secara kekal. 

“IKIM menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus berperanan proaktif dalam memastikan kestabilan dan pembangunan semula Gaza dilaksanakan dengan berkesan,” tambah beliau. 

Langkah ini diharapkan menjadi asas kepada penyelesaian konflik yang lebih menyeluruh dan membawa keamanan berkekalan di rantau tersebut.

Sebagai sebuah institusi yang prihatin terhadap isu kemanusiaan, IKIM menegaskan komitmen untuk terus menyuarakan sokongan kepada usaha perdamaian sejagat dan keadilan bagi rakyat Palestin. 

Semoga gencatan senjata ini menjadi titik tolak kepada keamanan yang lestari dan kemerdekaan yang diidamkan oleh rakyat Palestin.

WhatsApp
Scroll to Top