ISTANBUL, 16 Jan – Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman, pada petang Rabu mengumumkan kejayaan para perantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadualkan bermula Ahad ini, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam sidang media yang diadakan di Doha, Mohammed menyatakan bahawa fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.
Mohammed juga menegaskan bahawa Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS) “akan bekerja untuk memastikan pelaksanaan perjanjian ini,” dengan mekanisme telah disediakan untuk memantau pelaksanaannya serta menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.
Menteri Qatar itu turut menyuarakan harapannya agar “tiada operasi ketenteraan dijalankan dalam tempoh menjelang pelaksanaan perjanjian tersebut.”
Sumber : BERNAMA