BANGI, 14 Januari (IKIM) – Amalan patuh syariah dalam perkhidmatan kesihatan menjadi satu keperluan serta nilai tambah yang mustahak terutamanya apabila menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata perkhidmatan kesihatan yang merupakan komponen penting dalam pembangunan negara dan masyarakat perlu melihat bukan sahaja aspek kesihatan fizikal atau jasmani semata-mata bahkan aspek spiritual atau rohani juga perlu diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada ‘Simposium Shariacare : Merintis Kesihatan dengan Nilai-nilai Syariah’ di sini hari ini.
“Perkhidmatan kesihatan berteraskan syariah menjadi satu keperluan apabila wujud kemahuan dan kesungguhan untuk menyepadukan penjagaan dari aspek fizikal dan spiritual mengikut nilai-nilai sejagat yang diketengahkan oleh ajaran Islam,” ujar beliau.
Simposium yang disertai lebih seratus peserta itu merupakan kesinambungan daripada satu projek penyelidikan yang melibatkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bersama-sama penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkaitan “Shariah-Compliant Islamic Medical Service Standard Framework for Health Provider in Malaysia”.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut komited untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan patuh syariah bagi memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pesakit, terutamanya umat Islam.
Beliau ketika ditemui pemberita berkata konsep patuh syariah merangkumi bukan sahaja perkhidmatan kesihatan dan kemudahan, tetapi juga alat perubatan dan farmaseutikal sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam penjenamaan nilai patuh syariah.
“Penjagaan kesihatan berteraskan syariah bukanlah sesuatu yang baharu dan ia berakar dalam sejarah Islam,” kata beliau.
Simposium anjuran bersama IKIM, UTP dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd ini turut menyatakan komitmen bagi pembangunan nilai-nilai syariah dalam bidang penjagaan kesihatan.
Turut hadir dalam program ini Pengerusi IKIM Profesor Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Naib Canselor UTP Profesor Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd Dr. Rayney Azmi Ali dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.