PUTRAJAYA, 7 Januari (IKIM) – “Buat kerja kerana amanah yang ada dalam diri kita.” Demikian menurut YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2025 kepada warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini hari ini.
Beliau dalam ucapannya memetik kisah amanah yang ditunjukkan Baginda Nabi SAW untuk dijadikan contoh agar kita dapat melaksanakan tugasan dengan penuh tanggungjawab serta berdedikasi.
Beliau dalam pada itu turut menyorot pelbagai kejayaan KESUMA dalam memperjuangkan kebajikan pekerja di Malaysia.
KESUMA komited untuk menyediakan pelbagai program latihan dan kursus sejajar dengan peruntukan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk latihan dan peningkatan kemahiran pekerja agar lebih berdaya saing.
Sementara itu, KESUMA akan terus memperkukuh perlindungan sosial dengan memeperkenalkan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; dan Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KESUMA.