THRISSUR – Pensyarah Pengajian Islam Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom, YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti antara tetamu barisan ulama sedunia diberi penghormatan bagi menyampaikan ucapan pada majlis Persidangan Belia Kerala 2024.
Selain dihadiri oleh ulama sedunia, persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Noorul Ulama Dale, Thrissur, India pada penghujung Disember lalu itu turut menyaksikan lebih 100,000 peserta yang terdiri daripada golongan belia, agamawan dan cendekiawan seluruh dunia.
Persidangan tersebut dianjurkan oleh Samastha Kerala Sunni Yuvajana Sangham (SYS) sempena sambutan Jubli Platinum pertubuhan SYS yang ke-70.
Dalam ucapan hampir 30 minit, Afifi al-Akiti menekankan hubungan sejarah Islam dengan Kerala, selain menzahirkan rasa kagumnya terhadap SYS yang memasuki dekad kelapan yang terus kekal dengan komitmennya membimbing belia ke arah kebaikan.
“Hari ini, kita menyambut ulang tahun yang bermakna. Mungkin tidak semua orang menyedari sejarah yang kaya di sebalik perkataan ‘jubli’. Menariknya dalam beberapa tradisi Arab yang mencapai umur 40 tahun menandakan peralihan kepada usia yang lebih tua.
“Jadi kita mungkin mengatakan Sunni Yuvajana Sangham secara teknikalnya bukan lagi organisasi belia, namun semangat keremajaan dan dedikasi jelas kekal kuat semasa anda meraikan kejayaan 70 tahun yang luar biasa ini,” kata Afifi al-Akiti yang juga anak Melayu pertama dilantik sebagai Felo Kolej Worcester, Oxford dan pensyarah Pusat Islam di Pengajian Islam, Fakulti Teologi, Universiti Oxford.
Antara agenda utama yang dibincangkan pada persidangan tersebut ialah usaha menangani cabaran belia masa kini selain membentuk masyarakat bermoral dan bertanggungjawab.
SYS ialah sebuah organisasi Islam di India. Berasal di Kerala di bawah naungan Mufti Besar India Sheikh Aboobecker Ahmad (Kanthapuram). Pertubuhan ini bergabung dengan Jamiyyathul Ulama Sunni Seluruh India dan Jamaat Muslim Kerala.
Afifi al-Akiti berkata, Persidangan Belia Kerala 2024 menjadi platform perbincangan intelektual serta penghayatan Rohani yang memperkukuh kepentingan tanggungjawab secara kolektif dalam usaha memupuk prinsip kemanusiaan.
Tambahnya, persidangan tersebut bukan sahaja meraikan legasi SYS, sebaliknya membuka ruang kepada usaha berterusan menegakkan nilai-nilai Islam dan menggalakkan masyarakat global yang harmoni.
Katanya, secara tidak langsung, persidangan tersebut juga mempamerkan peranan Kerala sebagai hab kesarjanaan Islam dan inisiatif kemanusiaan merentasi sempadan budaya dan geografi untuk menggalakkan perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat global.
Sumber : Dewan Tamadun Islam
Kredit Foto: Samastha Kerala Sunni Yuvajana Sangham