PEMBAHARUAN DIPERKENAL IKIMfm BAGI TAHUN 2025

KUALA LUMPUR, 3 Januari (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) bagi tahun 2025 bakal mengetengahkan idea-idea lebih segar dengan pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan buat pendengarnya. 

Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali berkata pendekatan yang lebih segar serta program yang bersifat interaktif akan ditambah baik serta kandungan digital dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan diperkasakan. 

“Pusat Media IKIM termasuk IKIMfm memainkan peranan sebagai  Wadah Penyatuan Ummah,” ujar beliau. 

Sementara itu, menurut Pengurus Besar IKIMfm, Erwan Johari beliau berkata pembaharuan yang turut akan diperkenalkan adalah pertukaran barisan penyampai yang akan menemani pendengar IKIMfm setiap hari. 

“Apa yang akan berlaku itu bukanlah bermula hari ini dan secara rasminya InsyaAllah akan bermula Isnin nanti, sesuatu yang anda perlu nantikan,” Beliau berkata demikian ketika bersiaran menerusi slot Aspirasi Pagi bersama gandingan Tyzo Xander, Norhayati Paradi dan Ahmad Muhsin. 

Pelbagai rancangan baharu bakal menemui pendengar antaranya Minda Madani bersiaran setiap Isnin, 12.15 tengah hari serta Mihrab (Rabu, 5 petang). 

IKIMfm yang merupakan radio Islami nombor satu di Malaysia tidak semata-mata mengetangahkan kandungan berunsur keagamaan  bahkan mencakup pelbagai ruang lingkup kehidupan antaranya teknologi, cara hidup serta program berbentuk kemanusiaan. 

Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata IKIMfm juga berperanan memberi kefahaman kepada pendengar bukan sahaja yang beragama Islam bahkan dikalangan pendengar bukan beragama Islam selari dengan misi IKIM dalam memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada semua ahli masyarakat. 

Selain itu, IKIMfm bagi tahun 2025 juga merancang bakal turun ke lapangan dengan lebih giat bagi mempromosikan rancangan-rancangan sehingga ke luar negara bersama rakan-rakan strategik. 

“Amat penting untuk IKIMfm dengan agenda islah dan tajdid yang diperkenalkan kerana kita adalah medium dakwah utama negara, saya kira kita hendaklah memainkan peranan tersebut sebaik mungkin,” kata Ahmad Fuad. 

WhatsApp
Scroll to Top