MULAKAN 2025 DENGAN SEMANGAT PERPADUAN DAN KASIH SAYANG – MOHD NA’IM

PUTRAJAYA, 1 Januari 2025 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar mengajak umat Islam di Malaysia memperkukuhkan hubungan kepada Allah dan Rasul disamping menekankan hubungan antara sesama manusia serta membina masyarakat yang bersatu padu. 

Beliau ketika menyampaikan ucapan pada program Gema Syukur 2025 di Masjid Putra, di sini hari ini berkata nikmat kesatuan dan perpaduan ini sangat penting agar musuh-musuh tidak dapat mencari peluang untuk porak perandakan negara kita.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita mulakan tahun 2025 dan doa kepada Allah, agar diberikan kekuatan dan campak rasa kasih sayang kepada kita semua dan pastikan kejayaan yang lebih cemerlang buat negara kita”. 

Beliau berkata program Gema Syukur 2025 yang dihadiri kira-kira 10 ribu orang ini sebagai satu usaha membawa pendekatan baru bagi menyambut sambutan tahun baharu serta sebagai tanda permulaan buat Agensi-agensi Agama untuk mengadakan program berbentuk keagamaan dalam menyahut seruan oleh YAB Perdana Menteri dalam membangun Malaysia Madani dengan menerapkan pelbagai elemen antaranya ihsan. 

“Dengan bermulanya tahun 2025 ini, program-program Islam yang akan dibawa oleh agensi-agensi agama bagi tahun 2025 adalah untuk memperkukuhkan hubungan masyarakat Islam kepada Allah dan Rasul disamping menekankan hubungan antara sesama manusia dalam pembinaan masyarakat yang bersatu padu,” tambah beliau. 

Beliau turut menekankan dalam membina masyarakat bersatu padu, penting untuk diketengahkan adalah mengatasi perbezaan dengan cara yang berhemah dan dengan penuh adab dalam berbeza pandangan. 

Beliau berkata, pada Ogos lalu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melancarkan gagasan ‘Kalimah Toyyibah’ bagi mewujudkan masyarakat yang boleh menggunakan perkataan-perkataan yang baik, tidak memfitnah sesama sendiri serta menggalakkan masyarakat untuk berkasih sayang antara satu sama lain. 

Program Gema Syukur 2025 dimulakan semalam dengan pengisian bacaan yasin dan doa selamat, perkongsian ilmu, persembahan nasyid serta diikuti dengan qiyamullail pada hari ini serta forum ‘Demi Masa’ dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf. 

Turut hadir dalam program ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof

WhatsApp
Scroll to Top