KUALA LUMPUR, 23 Disember (IKIM) – KNKV Viral Award yang masuk tahun ke-3 penganjuran tahun hadapan bakal mengangkat dan mengiktiraf pengkarya media sosial dan pempengaruh yang pamerkan kandungan bermanfaat dan bernilai positif kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata bagi edisi ke-3 penganjuran tahun hadapan, nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia turut menjadi kriteria dalam penentuan pemenang bagi setiap kategori.
“Menerusi penganjuran KNKV Viral Award 2025 ini, ia akan membantu memberikan panduan kepada pempengaruh dan pengguna media sosial untuk menggunakannya dengan lebih bertanggungjawab, katanya pada sidang media selepas pelancaran KNKV Viral Award 2025 di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut berkata hasil ‘Kajian Persepsi Masyarakat Ke Atas Media Dan Perpaduan’ yang disediakan oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia dimana, majoriti yang besar daripada peserta kajian menyatakan bahawa media memainkan peranan yang penting dalam usaha mencapai perpaduan.
“KNKV Viral Award 2025 dapat menjadi satu wadah dalam memperkasakan budaya hormat-menghormati dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia melalui platform media sosial yang menjangkau pelbagai komuniti,” tambah beliau.
Penganjuran anugerah yang mengangkat tema ‘Memupuk Perpaduan Negara’ ini bakal diadakan pada 17 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dengan penglibatan lebih 700 pempengaruh tempatan dan antarabangsa, KNKV Viral Award menjadi platform berimpak besar dalam memperkukuh semangat perpaduan.
Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr Zurainah Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Profesor Adjung Adam Richman dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Mohd Rafiq Mat Razali.