PPZ-MAIWP TERIMA RM27.6 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN

KUALA LUMPUR, 10 Disember (IKIM) – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM27,560,083.68 daripada 21 syarikat korporat bagi haul 2023 dan 2024.

Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil syarikat kepada wakil PPZ-MAIWP pada Majlis Zakat Korporat 2024 disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, kutipan zakat perniagaan PPZ-MAIWP meningkat 2.6 peratus dalam tempoh Januari hingga November 2024 dengan jumlah keseluruhan RM123,766,691.87 berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Peningkatan ini sebagai satu isyarat bahawa syarikat-syarikat ini meletakkan kepercayaan kepada PPZ-MAIWP untuk mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan”, kata beliau. 

“Menghampiri penghujung tahun ini, saya yakin dan percaya angka ini akan terus meningkat dan turut mendoakan agar PPZ-MAIWP mampu mencapai sasaran RM1.15 bilion insyaAllah,” katanya berucap pada majlis tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat korporat agar terus dan segera tunaikan zakat di PPZ-MAIWP agar pihak MAIWP dapat membantu lebih ramai asnaf termasuk sumbangan kepada mangsa banjir di seluruh negara. 

“Kita semua maklum akan keadaan saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir dan MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM12juta untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara,” tambah beliau. 

Hadir sama dalam majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Hj Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman; dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Hj. Abdullah. 

WhatsApp
Scroll to Top