KELAH BUKU KUMPUL AKTIVIS DAN PEMINAT BUKU

PUTRAJAYA, 22 November (IKIM) – Kelah Buku bakal menghimpunkan peminat buku serta aktivis perbukuan bagi memasyarakatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. 

Program pertama seumpanya ini akan diadakan pada 14 Disember 2024 (Sabtu) di Taman Botani, Putrajaya bermula jam 7 pagi sehingga 7 malam dengan menampilkan selain acara utamanya membaca buku secara santai terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang menarik untuk semua peringkat umur. 

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) merangkap Penasihat program, Mohd Khair Ngadiron berkata inisiatif ini menggabungkan elemen literasi dan rekreasi dalam satu platform inklusif untuk memupuk budaya membaca khususnya dalam kalangan murid-murid sekolah dan keluarga. 

Beliau berkata demikian pada majlis Sidang Media Kelah Buku @ Putrajaya 2024 di Glasshopper Putrajaya yang juga selaku rakan santapan Kelah Buku.  

“Program ini juga menjadi ruang pertemuan kelab pembaca buku, penggiat industri buku, serta pencinta literasi untuk berkongsi idea dan memperluas jaringan sosial,” tambah beliau. 

Acara ini juga dilihat bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan pembacaan, tetapi juga mencetuskan daya tarikan baharu bagi golongan muda dan keluarga melalui aktiviti yang interaktif dan santai. 

Sementara itu, Pengarah Program, Hafiz Latiff ketika ditemui pemberita memaklumkan terdapat pelbagai acara menarik turut sama dianjurkan antaranya pertandingan mewarna, aktiviti memanah serta permainan tradisional. 

Program Kelah Buku ini anjuran bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia; Persatuan Booktube Malaysia; Perbadanan Kota Buku; Perbadanan Putrajaya dan Zonnique Creative Solutions. 

Program yang mengangkat tema “Membudayakan Membaca, Mendekatkan Komuniti” ini diharap dapat menarik minat ramai pencinta buku dan literasi untuk hadir bersama-sama memeriahkan penganjuran. 

Turut hadir dalam program ini Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar. 

WhatsApp
Scroll to Top