SINTOK, 15 November (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) memulakan siri Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm Kedah 2024 yang bermula hari ini hingga 17 November.
Program tiga hari itu bertujuan mendekatkan para penyampai bersama pendengar yang terus menyokong IKIMfm sehingga kini jumlah pendengar telah mencecah hampir 1.3 juta orang.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata IKIMfm terus mengekalkan kedudukannya sebagai radio Islam nombor satu di Malaysia dan sentiasa komited berusaha meningkatkan kefahaman Islam melalui pelbagai penerbitan rancangan radio yang meliputi pelbagai bidang, bertujuan menyampaikan ilmu, maklumat, berita terkini dan hiburan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam.
“IKIMfm telah memantapkan rancangan-rancangan terbitan, dengan memberi penekanan kepada penyertaan para ilmuwan Islam seperti mufti, para asatizah dan mempersembahkan lebih banyak lagi pentafsiran ayat-ayat suci Al-Quran, dan juga hadith,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm Kedah 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
“Hasil pendekatan ini, pada tahun 2024 ini, IKIMfm telah berjaya meraih jumlah pendengarnya 1.3 juta seminggu berdasarkan kaji selidik radio GfK 2024 dan menduduki tangga ke-6 dalam kalangan radio berbahasa Melayu di Malaysia,” kata beliau.
Dalam penganjuran jelajah tersebut, turut diadakan sesi perkongsian ilmu menerusi rancangan ‘Khabar Orang Muda’ menampilkan penyampai, Suffian Amrin serta rakan panel Ustaz Azam Al-Kankari, Lah Ahmad dan Muhammad Hafizzudin Zolkifely (siswa UUM).
Beliau berkata sempena Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm Kedah 2024 kali ini kami turut terlibat menjayakan Ziarah Masjid IKIMfm di Murtadha Dakwah Centre (MADAD) Sungai Petani, Masjid Al-Busyra Merbok dan Ziarah Mahabbah IKIMfm di Lembaga Zakat Negeri Kedah.
Siri Jelajah Mahabbah IKIMfm dianjurkan sejak tahun 2023 termasuk di Johor Bahru, Putrajaya, Shah Alam, Kundasang, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, dan Jakarta.
Program yang dihadiri lebih 300 mahasiswa UUM ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad bin Sakdan; Pengarah Pusat Media IKIM, Tn. Hj. Ahmad Fuad Mat Ali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed serta Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Masudi bin Mahmuddin.
Program yang juga disertai oleh barisan penyampai IKIMfm antaranya Syafiq Salleh, Erwan Johari dan Batrisya Afrina ini turut mendapat kerjasama rakan strategik QSR Brands (M) Sdn. Bhd.