ZAKAT INSTRUMEN PEMBERDAYAAN EKONOMI

CYBERJAYA, 5 Nov (IKIM) – Zakat dilihat sebagai satu instrumen penting dalam pemberdayaan ekonomi yang dapat digunakan untuk memulakan atau menyokong perniagaan kecil dan sederhana. Hal ini bukan sahaja membantu penerima zakat, malah turut mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Senator Dato’ Setia Dr Hj. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata melalui sokongan kewangan kepada yang mereka yang memerlukan khususnya golongan asnaf, zakat dapat meningkatkan perbelanjaan dalam ekonomi dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2024 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di sini, hari ini.

“Seperkara lagi, zakat juga memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan program-program pembangunan. Dana zakat boleh dimanfaatkan untuk membiayai program-program pendidikan, kesihatan dan dalam sesetengah keadaan, membiayai pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat besar kepada masyarakat secara menyeluruh,” tambah beliau.

Beliau berkata Perdana Menteri sentiasa memberikan peringatan kepada semua agensi Kerajaan untuk bersungguh-sungguh membantu masyarakat yang susah dan memerlukan. Ini adalah agenda Kerajaan Madani yang sentiasa turun ke lapangan membantu golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan.

Pada majlis itu, sebanyak 6 anugerah telah disampaikan kepada ikon asnaf, syarikat korporat serta agensi pengurusan zakat. Program tahunan ini juga bertujuan memberikan impak yang positif kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya menerusi penekanan terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Mengurus Zakat di dalam memartabatkan pengurusan zakat di Malaysia.

Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran drama pendek ‘Bersama’ terbitan JAWHAR yang memberikan mesej tentang zakat kepada masyarakat. 

Turut hadir dalam majlis tersebut Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan; dan Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR. 

WhatsApp
Scroll to Top