KUALA LUMPUR, 2 Nov (IKIM) – Rancangan kanak-kanak kegemaran pendengar IKIMfm, Alam Ria Si Kecil kini kembali temui peminat cilik bagi musim baharu 2024. Rancangan yang bersiaran selama sejam di IKIMfm itu kini bersiaran setiap Sabtu jam 9 pagi bersama penampilan penyampai jemputan, Ainatul Mardhiah Zamri atau dikenali sebagai (Dj Kak Aina) bergandingan bersama penyampai cilik jemputan bagi siaran November ini, adik Farisha Izazi Faizal (Dj Farisha), 13 tahun.
Rancangan yang kini memasuki musim ke-16 kembali bersiaran dengan konsep yang lebih segar dan segmen-segmen baharu yang lebih menarik antaranya Teladan Nabi, Kerjaya dan Pendapat yang turut disiarkan secara langsung di Facebook IKIMfm, memberikan platform yang lebih luas untuk kanak-kanak berinteraksi dan belajar.
Maslina Alias, Penerbit Alam Ria Si Kecil berkata selepas tujuh tahun menyepi, program kanak-kanak ikonik IKIMfm ini kembali keudara atas permintaan ramai dengan format dan idea baharu.
“Bermula sejak tahun 2001 dan berakhir pada 2015, program yang pernah menjadi siaran wajib bagi anak-anak kecil ini telah melalui pelbagai penambahbaikan dengan memperkenalkan format seorang penyampai utama bersama-sama pengacara kanak-kanak, menjadikan program ini lebih menarik untuk pendengaran pendengar cilik,” ujar beliau.
Pada Januari 2014, rancangan ini turut mengadakan sesi ujibakat yang menyaksikan seramai 22 kanak-kanak terpilih sebagai pengacara cilik sepanjang tahun tersebut, dengan kemuncaknya ialah pertandingan akhir pada Majlis Anugerah Nasyid IKIMfm di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Kepulangan program ini turut membawa Kak Aina, salah seorang penyampai asalnya, yang kini akan bergandingan dengan DJ Cilik setiap minggu,” tambah beliau.
Rancangan ini juga pernah berkolaborasi dengan artis nasyid terkenal seperti Raihan, Rabbani, dan Hijjaz, yang hadir untuk meraikan para pendengar kanak-kanak.
Selain itu, Alam Ria Si Kecil juga turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Blue-T Communications Sdn. Bhd. (Ana Muslim) dan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (Majalah Asuh), serta menerima penajaan dari Singapura.
Sementara itu, penyampai cilik Dj Farisha ketika ditemui pemberita IKIMfm berkata peluang keudara bersama rancangan Alam Ria Si Kecil ini membuka ruang untuk beliau menambah pengalaman serta belajar benda baharu bagaimana menjadi seorang penyampai radio.
Alam Ria Si Kecil dijangka akan terus menjadi program kegemaran dalam mendidik dan menghibur generasi muda dengan pendekatan kreatif dan bimbingan positif yang disukai ramai.