KUALA LUMPUR, 31 Oktober (IKIM)– Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menggesa semua pihak untuk menghormati langkah kerajaan dalam menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan. PPSM menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ini yang bertujuan mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti, sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan serta akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Presiden PPSM, Abu Suffian bin Abu Yaziz menolak sebarang desakan untuk Menteri Agama atau Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan hanya kerana perbezaan ijtihad atau khilaf pandangan.
“Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad di kalangan umat Islam mutakhir ini,” ujar beliau.
PPSM menegaskan bahawa desakan meletakkan jawatan bukanlah amalan yang sihat atau profesional dalam pengurusan, kecuali dalam kes pelanggaran tatakelola atau ketidakcekapan terbukti. Dalam hal ini, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dibuat selaras dengan undang-undang sedia ada, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lebih lanjut, beliau mengingatkan semua pihak agar menghentikan tindakan menghasut atau menyemai kebencian terhadap kedudukan Menteri dan Mufti Wilayah Persekutuan yang sedang menggerakkan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam Syariah. Beliau menyeru agar sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama masyarakat Madani terus dikekalkan, dan sebarang andaian yang bersifat dangkal dan sempit diketepikan.
Dalam pada itu, PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni adabul ikhtilaf seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi.