SHAH ALAM, 27 Okt (IKIM) — Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025, Malaysia diharap dapat memperkenalkan beberapa langkah penting yang bertujuan mensejahterakan rantau ASEAN, sejajar dengan falsafah Malaysia MADANI dan Fiqh At-Taayush As-Silmi.
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Insitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, Malaysia diharap dapat menekankan keperluan bagi menangani isu ketaksuban agama, seperti takfir dan hukuman berat terhadap pihak bukan Muslim yang turut serta dalam politik, yang dianggap sebagai ancaman kepada perpaduan dan kestabilan sosial.
“Istilah kafir harbi, yang digunakan untuk melabel sesetengah individu dalam konteks politik, turut dikecam oleh para ulama terkemuka seperti Al-Qaradawi, Hassan Al-Turabi, Rasyid Ghannoushi, dan ulama lain yang berwibawa. Mereka telah mengkaji semula konsep ini dan menekankan kepentingan memahami perbezaan pandangan dengan lebih inklusif dalam masyarakat berbilang kaum.”
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Fiqh Taayush : Hidup Damai Dalam Komuniti ASEAN sempena Muktamar Nasional Wadah Pencerdasan Umat (MUKNAS WADAH) kali ke-18 di sini, semalam.
Menurut beliau, Fiqh Ta’ayush As-Silmi (Fiqh Kehidupan Bersama secara Damai) tidak mungkin berfungsi secara efektif jika diskriminasi terhadap kumpulan minoriti Muslim, seperti yang berlaku di Selatan Thai, Mindanao, dan Myanmar, terus berlaku.
Beliau turut mengaitkan isu kemiskinan, peminggiran budaya, dan kekurangan akses kepada pendidikan sebagai masalah utama yang perlu diislah secara adil bagi merealisasikan prinsip ta’ayush (koeksistensi harmoni).
Menjadi Ketua ASEAN tahun hadapan, Malaysia optimis dalam menangani isu-isu utama seperti konflik politik di Selatan Thai, hak autonomi Mindanao, dan pergolakan di Myanmar. Dengan populasi ASEAN yang mencecah 550 juta orang, beliau berharap dapat melaksanakan langkah-langkah praktikal yang memacu kemajuan ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan.
Dalam visi Malaysia yang mengangkat gagasan Malaysia MADANI dan Fiqh At-Taayush sebagai asas kepada keharmonian serantau, harapan ini bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga sebagai inspirasi kepada komuniti ASEAN yang lebih aman dan makmur, sejajar dengan cita-cita rakyatnya untuk hidup dalam keharmonian serta kemakmuran yang saksama.