KUALA LUMPUR, 22 Oktober (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas.
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM berkata pembentangan Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2 bilion untuk hal ehwal Islam, menunjukkan iltizam kerajaan Madani serta usaha dalam memperkasa dan meningkatkan syiar Islam di Malaysia.
“Ini adalah satu langkah yang tepat, mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz, dan sekolah agama rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa Islam mementingkan ilmu pengetahuan sebagai asas keimanan dan kemakmuran dan oleh itu peruntukan tersebut dianggap sebagai satu langkah penting yang dapat memperluas jangkauan syiar Islam kepada masyarakat, sekaligus membangunkan masyarakat yang berakhlak dan berilmu, seiring dengan gagasan Malaysia Madani yang menekankan aspek pendidikan sepanjang hayat.
Salah satu inisiatif yang dialu-alukan adalah pelancaran ikhtiar wakaf al-Quran oleh kerajaan, yang melibatkan percetakan sejuta naskhah al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan ke seluruh dunia.
“Penggunaan konsep wakaf ini tepat pada masanya dalam usaha menangani kesalahfahaman terhadap Islam di peringkat global,” tambah beliau.
Beliau dalam kenyataan itu turut menambah IKIM juga komited untuk bekerjasama dengan agensi-agensi Islam lain dalam usahanya mengekang pemikiran yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan perlu membendung aliran pemikiran yang menyeleweng dari awal untuk memastikan keharmonian dan perpaduan umat Islam di negara ini terpelihara.
IKIM terus menyokong penuh segala usaha kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025, termasuk inisiatif-inisiatif berkaitan kewangan Islam, pemerkasaan konsep wakaf, dan industri halal. IKIM berharap agar inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.