IKIM DAN CUMT METERAI MOU UNTUK PERKUKUH PENDIDIKAN ISLAM DI ASIA TENGGARA 

PHNOM PENH, 21 Oktober 2024 (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cambodia University of Management and Technology (CUMT) dalam satu majlis di Pusat Persidangan Antarabangsa OCIC, Phnom Penh.

Majlis bersejarah ini diadakan sempena pembukaan rasmi CUMT dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Dr. Hangchoun Naron. Acara ini dihadiri oleh kira-kira 1,000 tetamu, termasuk rakan penaja, pensyarah universiti, dan wakil NGO.

Majlis MoU tersebut menandakan kerjasama strategik antara IKIM dan CUMT, bertujuan memperkukuh hubungan pendidikan dan kefahaman Islam di rantau Asia Tenggara. Kerjasama ini dijangka membuka peluang baharu dalam bidang akademik dan penyelidikan berkaitan kefahaman Islam serta pembangunan kepimpinan.

IKIM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, manakala pihak CUMT diwakili oleh Presidennya, H.E Dr. Hosen Mohamad Farid. Upacara ini turut disaksikan oleh Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Nur Manuty.

Kerjasama ini menjadi langkah signifikan bagi memperluas jaringan IKIM di peringkat antarabangsa, selari dengan matlamatnya untuk menyebarkan kefahaman Islam berteraskan toleransi dan keharmonian dalam masyarakat global.

Dengan termeterainya MoU ini, IKIM dan CUMT bertekad untuk membina program akademik yang inovatif dan memupuk kerjasama dalam penyelidikan untuk manfaat kedua-dua negara.

Scroll to Top