KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Penekanan yang lebih terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi selain memastikan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama menjadi teras dalam Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata dengan tumpuan tersebut, maka ia secara langsung akan memperkukuh iltizam negara dalam membina serta membangun masa depan yang hijau, digital dan berdaya tahan.
Selain itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penumpuan tersebut juga dapat terus membela warga lemah dan melarat supaya tidak ada golongan terpinggir dalam usaha menggapai status negara berpendapatan tinggi.
“Saat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Kerajaan MADANI menetapkan satu hala tuju jelas bahawa ketelanjuran lalu tidak harus dipertahankan dan diulangi. Maka, prinsip tatakelola yang baik mesti terus mengakar dan disemarakkan,” katanya.
Belanjawan 2025 adalah belanjawan tertinggi dalam sejarah negara, dan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, dan terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menjelaskan lebih lanjut teras berkenaan, Anwar berkata kerajaan tidak mahu pimpinan dan petinggi politik, pengusaha, penjawat awam dan rakyat dilihat terpisah daripada kerangka mengangkat martabat rakyat.
“Ini bukan Belanjawan Kementerian Kewangan semata, tetapi ini adalah Belanjawan Rakyat. Justeru saya ingin merangkul seluruh kekuatan rakyat sepertimana yang pernah saya lontarkan sebelum ini bahawa tidak pernah kita punyai kesempatan terbaik untuk melakar agenda memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat seperti yang kita saksikan sekarang,” katanya.
Perdana Menteri berkata negara harus terkenal dengan contoh tatakelola yang baik, pimpinan yang mempunyai nilai, dan yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjaga lingkungan.
Menyentuh mengenai prestasi ekonomi Malaysia, Perdana Menteri berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus tahun ini, berbanding antara 4 ke 5 peratus pada 2023.
Malah beliau berkata Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus pada April lepas, manakala Ringgit pula diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia.
Dalam pembentangan selama dua jam 30 minit itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI juga bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola baik bagi memacu produktiviti.
Beliau berkata Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar – mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta,” katanya.
Mengenai usaha memerangi rasuah yang disifatkan “barah senyap” yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur, Perdana Menteri berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas.
“Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya,” kata Anwar sambil menambah, peruntukan SPRM juga ditingkatkan kepada RM360 juta berbanding RM338 juta.
Ketika membentangkan belanjawan itu, Perdana Menteri turut menghimbau lima perihal penting yang berkait dengan kehidupan rakyat.
Lima perihal tersebut adalah menelusuri Ekonomi MADANI; mengislah lebih tegas; menghapus karenah birokrasi; menaikkan gaji dan pendapatan; serta menangani kos sara hidup.
Dalam suasana ekonomi dunia yang rencam, Perdana Menteri berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain mempunyai fundamentals kukuh bagi menepis sebarang gejolak yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.
Menyentuh mengenai penyasaran subsidi, Anwar berkata kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak dibelanja secara pukal, dan langkah itu telah membawa penjimatan yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.
“Subsidi dari segi prinsip sepertimana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya. Selama ini kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam.
“Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah,” jelasnya.
Anwar berkata kerajaan komited mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Perdana Menteri berkata langkah penyasaran subsidi dan peluasan asas hasil antara lain bagi mengupayakan bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.
Beliau berkata tahun depan kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun ini.
Selain itu beliau berkata bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dipertingkat kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion.
Anwar turut menyentuh mengenai aspek pendidikan dan kesihatan, yang menerima peruntukan tertinggi dan kedua terbanyak, masing-masing RM64.1 bilion dan RM45.3 bilion.
Menerusi peruntukan kepada Kementerian Pendidikan, beliau berkata antaranya kerajaan akan membina 44 sekolah baharu tahun depan termasuk di Sabah dan Sarawak, selain terus menyediakan 17 jenis bantuan pendidikan dengan peruntukan RM5.3 bilion.
Sementara itu Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM18 bilion dengan komitmen untuk meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi termasuk menambah baik prasarana, menggantikan peralatan usang dan memperluaskan capaian internet di semua universiti awam.
Anwar juga berkata tahun depan pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta berbanding RM20 juta tahun ini.
Berhubung peruntukan terhadap aspek kesihatan, Anwar berkata adalah menjadi tanggungjawab Kementerian untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.
Beliau berkata tahun depan sejumlah RM1.3 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas, hospital uzur dan wad-wad pesakit yang usang, selain terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara.
Mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Anwar berkata ia adalah peluang terbaik Malaysia mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Perdana Menteri berkata kepengerusian ASEAN 2025 itu melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti membabitkan semua negeri.