BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT BUAT PALESTIN & LUBNAN

PUTRAJAYA, 17 Oktober (IKIM) – Satu inisiatif program bacaan Yasin dan solat hajat buat Palestin dan Lubnan telah dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta Geng Surau Putrajaya di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 dekat sini hari ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata inisiatif solat hajat dan bacaan yasin ini diadakan buat saudara kita di Palestin, Lubnan serta buat rakyat Malaysia yang terkesan dengan situasi banjir yang melanda negara. Program yang dilancarkan ini bakal bermula dari Putrajaya dan akan turut diperluaskan ke lokasi-lokasi lain selepas ini. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bacaan Yasin dan Solat Hajat di sini hari ini. 

“Kebiasaannya, kita zahirkan solidariti kita dengan demontrasi, tapi kali ini kita munajat kepada Allah SWT dengan berdoa dan solat sunat hajat setiap minggu memohon kepada Allah moga diberikan perlindungan serta keamanan buat sauadara kita di Palestin dan Lubnan serta umat Islam di seluruh dunia,” tambah beliau. 

Program yang dihadiri oleh masyarakat setempat itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat sunat hajat dan kemudiaan diikuti perkongsian oleh Dr. Zulkifli serta aktivis kemanusiaan Nadir al-Nuri dan Musa al-Nuwayri. Turut berkongsi inspirasi, penyanyi terkenal Faizal Tahir. 

Turut hadir pada program tersebut Sahibus Samahah Datuk Prof Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM. 

WhatsApp
Scroll to Top