‘MENGGAMIT RINDU RAMADAN’ DAN PODCAST ‘SIT & SEEK’ KE MALAM KEMUNCAK ANUGERAH SERI ANGKASA 2024

KUALA LUMPUR, 27 September (IKIM) — Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menerusi penerbitan Drama Khas Ramadan “Menggamit Rindu Ramadan” berjaya tersenarai dalam 5 teratas Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 dalam kategori ‘Pelakon Drama Radio Terbaik’ lakonan Noorkhiriah Ahmad Shafie.

Drama terbitan Faiz Hj. Othman yang bersiaran Ramadan 2023 itu turut dilakonkan oleh penyampai-penyampai IKIMfm antaranya Siti Rohani Surani dan Maslina Alias. 

Selain itu, penerbitan Podcast “Sit & Seek” turut tersenarai dalam senarai lima teratas bagi kategori ‘Podcast Terbaik” dengan menampilkan episod “Keluarga vs Kerjaya” yang diterbitkan oleh Nurul Izzati Zakariah serta panelnya Norhayati Paradi.

Podcast Sit & Seek yang boleh ditonton menerusi platform digital IKIMfm (Youtube & Facebook) itu kini memasuki musim ke-3. 

Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 menerima 1,860 pencalonan bagi tiga kategori, peningkatan 17 peratus daripada edisi 2022, iaitu 1,585 pencalonan.

Jawatankuasa Promosi dan Publisiti Anugerah Seri Angkasa 2024 dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,287 pencalonan untuk kategori televisyen, 515 kategori radio dan 58 kategori media baharu.

Ketiga-tiga kategori itu mempertandingkan sebanyak 60 anugerah dan senarai lima teratas bagi setiap kategori anugerah juga telah disenarai pendek hasil penilaian juri profesional yang dilantik.

ASA, anjuran Kementerian Komunikasi merupakan medium pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif penyiaran, mempromosikan karya-karya kreatif kepada orang ramai dan memperkukuh komuniti kreatif negara sekali gus melonjakkan potensi ekonomi jingga atau ekonomi kreatif.

Maklumat lanjut mengenai senarai lima teratas ASA 2024 boleh didapati menerusi laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.

Scroll to Top