KUALA LUMPUR, 12 September (IKIM) – Malaysia telah secara konsisten diiktiraf sebagai destinasi utama pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) di dunia.
Ekosistem MFTH ini dilihat membolehkan pelancong Muslim menikmati pengalaman bercuti di Malaysia dengan memastikan amalan serta kewajipan sebagai Muslim tetap terjaga.
“Saya yakin bahawa MFTH di Malaysia telah mencipta pengalaman yang lancar untuk pelancong Muslim”. Kata YB Khairul Firdaus Bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pelancong yang hadir ke Malaysia tidak perlu bimbang dan boleh berasa tenang semasa berada di sini, tanpa perlu risau dalam memelihara ibadah dan kewajipan sebagai Muslim. Kini, mereka boleh benar-benar menikmati pelbagai aktiviti yang akhirnya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan ketika melancong.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) 2024 di sini hari ini.
Beliau menambah, secara tidak langsung, kita sedang mewujudkan persekitaran yang memupuk nilai-nilai asas, memperkukuh institusi kekeluargaan, sambil memperlihatkan kepada dunia kepelbagaian budaya dan komuniti yang ada di Malaysia.
Persidangan anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) itu berlangsung selama dua hari dan mengumpulkan penggiat industri, pemegang taruh, pakar serta ahli akademik seluruh dunia dalam bertukar pandangan bagi memartabatkan pelancongan Islam.
Pelbagai tokoh dari segenap aspek akan berkongsi idea dalam sesi sepanjang persidangan ini berlangsung antaranya YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, TYT Karomidin Gadoev, Duta BesarUzbekistan ke Malaysia dan DrMaszlee Malik, Pengerusi, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.
Majlis pelancaran WITC 2024 turut dihadiri oleh Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), En. Nizran Noordin, Ketua Pengarah ITC serta perwakilan dan delegasi luar.