KUALA LUMPUR, 6 OGOS (IKIM) – Perbezaan agama dan latar belakang menjadi penyebab wujud masyarakat di seluruh dunia yang dinafikan martabat dan maruahnya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada persidangan “Regional Southeast Asia Human Dignity Conference 2024: “Dignity For Everyone, Everywhere: Best Practices & Success Stories For Building Inclusive Societies” yang berlangsung di sini hari ini.
Baginda bertitah dalam ucaptama diraja bagaimana Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa hasil kerja keras dalam mempromosi perpaduan dan kebersamaan penduduknya yang berbilang kaum. “Setiap individu berhak untuk berasa selamat dan dihormati, semasa berada di negara sendiri, mahupun semasa berada di luar negara,” titah Baginda.
Menurut baginda, di bahagian dunia yang kononnya inklusif, populasi minoriti sering dihina secara melampau seperti menerusi contengan grafiti yang menyinggung perasaan pada dinding berhampiran rumah mereka atau dilempar kata-kata kejian dalam perjalanan ke tempat kerja kerana pakaian atau warna kulit mereka.
Mengulas mengenai persidangan dua hari itu, Baginda bertitah persidangan itu berperanan mencari jalan bagaimana merealisasikan semua orang agar dihormati dan mempunyai harga diri, tanpa mengira siapa mereka, asal usul dan destinasi mereka di dunia ini.
Persidangan yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pusat Undang-Undang dan Pengajian Islam Antarabangsa Brigham Young University itu bakal mengupas mengenai isu-isu berkaitan martabat dan maruah manusia.
Program dua hari itu turut dihadiri oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar dan Pengerusi IKIM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty.