MUTAKHIR ini dunia sering berbicara tentang kebebasan. Namun sekiranya ditanya tentang definisi kebebasan, setiap individu akan cuba memberikan makna kebebasan mengikut intepretasi masing-masing. Professor Adler Mortimer melalui bukunya bertajuk The Idea of Freedom yang mengkaji pandangan-pandangan ahli falsafah dan pemikir besar dahulu dan kini, pada akhir tulisannnya memberi kesimpulan bahawa nilai kebebasan itu tidak ada yang bersifat mutlak, kerana kehidupan ini dibataskan oleh pelbagai konteks dan lingkungannya.
Tokoh Islam masa kini Shaykh Hamza Yusuf juga pernah menyebut bahawa idea yang mengkehendakkan kebebasan mutlak sejak akhir-akhir ini yang bermula dari barat merupakan satu idea baru dalam sejarah kemanusiaan yang juga sebenarnya satu aliran ekstrim atau pelampau.
Secara asasnya setiap aspek dalam kehidupan mempunyai batas dan sempadan. Bermula dari rumah dimana kita meletakkan batasan melibatkan ruang antara anak-anak dan ibu bapa, sempadan yang dibuat diantara jiran-jiran tetangga dan di tempat kerja dan tempat atau perkara lain baik dari sudut batasan fizikal, ruang, adab dan perbuatan.
Dalam Islam masyarakatnya ditegakkan di atas asas kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Namun kebebasan bukan sahaja melihat kepada kepentingan adanya batasan dalam perbuatan dan amalan terhadap diri dan orang lain, bahkan batasan perlu ada dalam pemikiran. Memahami tentang perkara-perkara yang membataskan dan sebaliknya penting dalam Islam kerana kebebasan pemikiran ini juga jika tidak dikawal dengan ilmu, ia akan membawa kepada penyelewangan ideologi yang akhirnya menatijahkan kesan negatif kepada masyarakat dan umat Islam khususnya.
Membincangkan Kebebasan Dalam Beragama menerusi rancangan Suluh Budi, Pengarah Pusat SYARAK IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata Islam menurut sumber utamanya iaitu Al Quran menyebut di dalam surah Al Baqarah ayat 256 Firman Allah SWT yang bermaksud: “\”Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.\”
Ayat ini menjelaskan bahawa dalam Islam, tidak ada paksaan dalam beragama kerana melalui Al-Quran Allah SWT telah menjelaskan yang mana petunjuk dan yang mana kesesatan. Sunnah Rasulullah SAW juga telah mengajar tentang cara bermuamalah dengan orang-orang kafir, iaitu melalui dakwah Islamiah dan hujah-hujah yang baik.
Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, tetapi adalah menjadi kewajipan ke atas setiap mereka untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama yang membawa kesejahteraan kepada manusia
Walaupun begitu, kebebasan menerusi hukum dan aturan turut diletakkan ke atas Muslim yang bertujuan mencegah mereka dari perbuatan yang menyimpang dari agama. Ini menunjukkan, Islam tidak membiarkan begitu saja orang yang sudah memeluk agama suci ini dengan kehendak dan kemahuannya sendiri tanpa panduan yang benar.
Justeru adalah wajar para pengikutnya untuk mematuhi setiap perintah dan larangan yang ditentukan oleh Al-Quran dan Hadis. Antaranya perintah mendirikan solat, puasa, zakat, dan haji serta melarang mereka dari meminum minuman keras, judi, zina, dan mencuri serta perkara keburukan lain. Bahkan Islam meletakkan menghukum orang yang melanggar perintah Allah dengan hukuman yang bersesuaian dengan tingkat pelanggarannya juga adalah bagi memelihara keamanan dan kebebasan kemanusiaan. Jelaslah aturan dan batasan yang ditetapkan itu adalah untuk kepentingan manusia itu sendiri. Dengan kebebasan yang terbatas itulah kebahagiaan dunia dan akhirat setiap individu dan masyarakat akan terpelihara.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Mei 2018