SELAIN Al Quran dan Sunnah, seseorang Muslim perlu melihat sejarah dalam mencari panduan meniti kehidupan. Apabila menilai kekuatan sesuatu peradaban atau kehebatan tamadun dalam sejarah kehidupan manusia, seseorang akan cenderung melihat kepada aspek-aspek kebendaan atau kekuatan fizikal semata-mata.
Namun begitu, kita semua jelas bahawa keindahan dan kecantikan fizikal semua yang bergelar makhluk itu akan pudar dan rosak dimakan waktu. Maka penting dalam mengimbau kegemilangan sesuatu tamadun banyak aspek-aspek lain yang perlu dinilai.
Rancangan Suluh Budi oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran menyambung pengisian berkenaan pentingnya sifat-sifat diri insan yang cemerlang di dunia dan berjaya di akhirat. Oleh itu dalam membaca dan memahami kegemilangan tamadun Islam, kita tidak seharusnya sekadar mengenang kehebatan dari sudut ekonomi, geo-politik mahupun ketenteraannya tetapi kita juga harus melihat kepada satu lagi aspek yang utama iaitu sudut akhlak. Ketika kekuatan lainnya itu hilang, namun keunggulan akhlak dan kehalusan budi itu kekal selama-lamanya bahkan ia menjadi tiang utama kehebatan fizikal tamadun yang cemerlang.
Akhlak adalah budi pekerti, perangai, tingkah laku, atau tabi’at. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR. Al-Hakim)”. Dalam kerangka inilah Rasulullah SAW diutus. Beliau ingin menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia. Beliau menghendaki seluruh manusia supaya bermuamalah dengan akhlak baik, tidak dengan aturan yang lain.
Berbeza daripada panduan moral dari barat yang disebut etika, pengaruh dan kekuatan akhlak dalam Islam lebih luas terutama pada pembentukan masyarakat. Ia merupakan satu sifat atau sikap keperibadian yang membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Allah SWT. Agama Islam mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya iaitu hubungan manusia dengan dirinya; serta hubungan manusia dengan sesamanya.
Hubungan manusia dengan Penciptanya bukan sahaja mencakupi dalam masalah akidah dan ibadah, bahkan ia merangkumi akhlak. Ia memberi pengertian hadirnya perasaan manusia terhadap pengawasan Allah SWT dalam setiap perbuatan dan tingkah laku sesama manusia. Sentuhan akhlak yang terpuji akan menyebabkan wujud suasana aman dan memberi ruang dalam memperbaiki potensi manusia dan menambah produktiviti.
Hari ini kita menyaksikan betapa akhlak sudah semakin direndahkan dalam pendidikan jatidiri oleh sebahagian daripada masyarakat kita. Telah dapat dilihat akan sifat jujur dan amanah yang semakin dipinggirkan telah mengakibatkan kejahatan seperti penipuan, rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain penyelewangan. Terpapar di media hari ini laporan-laporan berita tentang keruntuhan akhlak dari golongan remaja hinggalah ke golongan dewasa. Disinilah akibat lunturnya adab kesopanan dan tatasusila yang menyedihkan apabila jiwa insan itu tidak disuntik pendidikan akhlak walaupun sekiranya seseorang individu itu memiliki kelulusan akademik yang tinggi.
Justeru jelas bahawasanya akhlak itu adalah cerminan dari dalam diri seseorang yang mempunyai ilmu dan adab. Mereka yang tidak mempelajari ilmu berkenaan keimanan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan akhlak yang dibawa baginda akan memberi kesan kepada dirinya. Ilmu yang dituntut secara berterusan akan menjana ketakwaan kepada Allah SWT dan kecintaan kepada Rasulullah SAW yang seterusnya membuahkan akhlak yang terpuji pada dirinya.
Jiwa yang subur dengan ilmu akan berusaha mencari redha Allah dan sentiasa berwaspada dengan azab dan hukuman perbuatan buruknya terhadap Allah dan makhluk lain. Kepekaan kepada kehidupan akhirat yang dimaksudkan inilah yang menjadikan seseorang itu mudah untuk patuh kepada undang-undang dan hukuman yang mengikat masyarakat sejahtera.
Penting sebagai seorang muslim untuk belajar mendidik diri dan mereka yang berada dibawah tanggungjawab kita berkenaan cara Islam menerapkan pendidikan akhlak. Terdapat tiga bentuk jiwa manusia yang digunakan dalam pendidikan akhlak. Pertama, yang dipanggil nabatiyah iaitu jiwa tumbuhan, yang kedua haiwani iaitu jiwa kehaiwanan dan yang ketiga aqli atau jiwa ruh . Jiwa tumbuhan bererti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup sebagaimana sifat manusia. Demikian perumpamaan manusia dengan sifat kehaiwanan yang bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat dan sifat takut.
Yang ketiga disebut jiwa ruh itu adalah qalbu atau hati. Di bahagian qalbu atau hati inilah perhatian khusus diberikan dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat yang terpuji. Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda, \”Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.\”. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 April 2018