Pendeta Yahudi Memeluk Islam

“Barangsiapa yang ingin melihat seorang lelaki ahli syurga, maka lihatlah Abdullah ibn Salam”, Hadis Riwayat Muslim. Begitulah yang diperkatakan oleh Baginda Nabi SAW kepada seorang pendeta Yahudi yang memeluk agama Islam, Saidina Abdullah ibn Salam.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai Saidina Abdullah ibn Salam. Sebelum datangnya Islam dalam diri beliau, namanya Husin ibn Salam, seorang pendeta agama Yahudi yang tinggal di Yathrib. Sekalipun penduduk di Yathrib, berbilang bangsa, agama, kabilah dan keturunan, tetapi mereka tetap memuliakan Husin dan memberi kedudukan yang tinggi kepada beliau. Beliau terkenal dengan sifatnya yang baik, bertaqwa, jujur dan istiqamah dalam kebenaran. Walaupun kehidupan beliau di Yathrib tenang dan aman, namum di hatinya terdapat sesuatu yang dipendamkan. Beliau bimbang mengenai apa yang dibacanya menerusi Kitab Taurat tentang Nabi akhir zaman. Perkara itu membimbangkan Husin dan sangat dinanti-nantikan oleh beliau.

Kehidupan sebagai pendeta, masanya beliau bahagikan kepada tiga perkara utama. Kehidupannya tidak lari daripada menyampaikan nasihat dan beribadah, menguruskan ladang dan ternakan di kota Yathrib serta merenung dan mengkaji isi kandunagn Kitab Taurat. Setiap kali beliau membaca kitab Taurat, beliau akan termenung panjang tatkala membaca berita akan munculnya nabi akhir zaman di Makkah bagi menyempurnakan risalah kenabian para nabi terdahulu. Beliau kemudian meneliti tentang sifat-sifat nabi tersebut di dalam Taurat. Diikuti satu persatu dan dicatat tanda-tanda kenabian tersebut. Kebimbangan beliau bertukar gembira tatkala membacakan bahawa nabi tersebut akan berhijrah ke Yathrib, tinggal di kota tersebut sebagai nabi yang memimpin Ummah. Beliau berharap agar dipanjangkan usianya supaya dapat bertemu dengan nabi tersebut.

Husin bercerita “ketika kamu mendengar cerita Nabi itu, aku sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendekati nabi itu. Aku mula mengkaji nama dan keturunan, sifat Baginda serta mengkaji apa yang dibawa olehnya. Aku mengambil tahu kedudukan dalam kaumnya, hingga tidak satu pun berita-berita Baginda yang tidak aku ketahui. Aku kemudian membandingkan dengan maklumat yang aku dapat di dalam Taurat. Apakah benar yang dinyatakan menyamai dengan diri Baginda. Aku sembunyikan hal itu daripada pengetahuan kaum Yahudi.

Saat sampai berita mengenai penghijrahan Baginda Nabi SAW ke Yathrib. Ketika itu Baginda singgah di Quba’ selama empat hari. Ramai masyarakat Madinah berkumpul dan menyambut Baginda. Husin berkata “aku ketika itu berada di atas pohon tamar sedang memetik buah-buah kurma dan ketika itu, ibu saudaraku Khalidah binti Al-Haris sedang duduk di bawah pohon tersebut. Tatkala mendengarkan berita kemunculan Nabi SAW, aku segera mengucapkan Allahu Akbar.” Ibu saudaraku kemudian bertanya “Apa yang engkau sebutkan itu? Demi Allah, andai kata perkataan yang engkau dengar daripada Musa bin Imran, pasti engkau tidak akan lakukan sedemikian.” Husin kemudian menjawab “Demi Allah, ibu saudaraku, sesungguhnya dia adalah saudara kepada Musa bin Imran dan dia adalah orang yang membawa agama yang sama seperti Musa bin Imran. Dia diutuskan oleh Allah SWT sebagaimana Allah utuskan Musa bin Imran.” Maka, ibu saduaranya menyebut “jika begitu, apa lagi yang engkau tunggu. Pergilah dan lihat sendiri apakah benar dia adalah nabi yang dinyatakan di dalam Taurat dan injil.”

Husin kemudian turun lalu menuju ke Quba’. Beliau masuk dan mencelah-celah di lautan manusia yang hadir menyambut Baginda Nabi SAW. Perkara pertama yang beliau dengar daripada lidah Baginda ialah “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sediakanlah makanan dan solat pada malam hari dalam keadaan orang ramai tidur. Kalian akan masuk syurga dengan selamat.” Mendegarkan kata-kata itu, menjadikan beliau bertambah semangat untuk mendekati Baginda. Apabila beliau menghampiri Baginda Nabi SAW, beliau melafazkan kalimah syahadah. Dalam lautan manusia, Baginda SAW berpaling ke arah Husin saat mendengarkan kalimah tersebut. Baginda bertanyakan namanya lalu beliau mengatakan Husin bin Salam. Lantas Baginda menjawab “tidak, bahkan awak Abdullah ibn Salam”. Abdullah menjawab “Baik Rasulullah, mulai hari ini, namaku Abdullah ibn Salam. Demi Tuhan yang telah mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak akan suka namaku dipanggil selain daripada nama ini.”

Hari-hari berlalu dan beliau bertemu dengan Rasulullah SAW agar Baginda dapat berdakwah kepada pembesar Yahudi dan bertanya mengenai kedudukan Abdullah kepada pembesar-pembesar agama Yahudi. Saat Rasulullah berdakwah kepada pembesar tersebut, Abdullah bersembunyi di sebalik sebuah kamar di belakang Baginda. Setelah pembesar Yahudi masih berhujah dengan Baginda mengenai kebenaran Baginda dalam menyampaikan risalah Allah dan Baginda tidak mampu untuk berdebat lagi dengan mereka. Baginda kemudian bertanya “Apa pandangan kalian tentang Husin bin Salam?” Mereka bersungguh-sungguh memuji Husin bin Salam dan mengatakan bahawa beliau penghulu mereka serta mengatakan seorang pendeta terhormat di kalangan mereka. Kata Baginda “apa pandangan kalian kalau Husin memeluk Islam?” Mereka benar-benar menolak kemungkinan tersebut. Maka saat itu, keluarlah Abdullah daripada tempat persembunyiannya dan berkata “Wahai seluruh pembesar Yahudi, berimanlah dengan Allah, terimalah apa yang didatangkan kepada kalian oleh Muhammad SAW. Benar, Muhammad adalah nabi kalian semua. Demi Allah, kalian mengetahuinya. Benar Muhammad adalah utusan Allah SWT dan kalian dapati namanya termaktub di dalam kitab kalian serta sifat-sifat kenabiannya tidak lagi asing kepada kalian. Sesungguhnya aku, Abdullah bin Salam bersaksi bahawa Baginda SAW adalah utusan Allah. Aku juga menyeru kalian beriman dengannya.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 April 2018

\"\"

WhatsApp
Scroll to Top