Merebut Kesempatan Husnul Khatimah

HUSNUL khatimah merupakan penyudah yang baik di dalam kehidupan manusia yang berakhir dengan syurga, manakala suul khatimah adalah kesudahan yang buruk yang akhirnya membawa manusia ke neraka Allah. Tidak ada seorangpun di kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang tidak akan menemui kematian, malah hayat yang paling panjang hanya mampu mencecah usia 120 tahun. Oleh itu pada usia 60 tahun, seharusnya manusia sudah bersiap sedia dengan bekalan amal untuk di bawa ketika kembali menghadap Allah SWT kelak dan sebaiknya persiapan itu dilakukan pada usia yang lebih awal. Namun apa yang disesali, masih ramai di kalangan manusia yang masih kebingungan untuk melakukan persediaan menghadapi kematian walaupun usia sudah mencapai 60 tahun, sedangkan telah diingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa umur umat baginda hanya mencecah di antara 60 tahun sehingga 70 tahun sahaja.

Seharusnya apabila usia sudah mencecah di antara 60 sehingga 70 tahun inilah, manusia tidak lagi leka dengan urusan dunia yang bakal ditinggalkan nanti. Pendekkan angan-angan untuk mencapai impian di dunia, tumpukan perhatian mencapai cita-cita di akhirat dan mencapai husnul khatimah kerana pada usia sebegini tidak lagi sesuai untuk sibuk dengan pekerjaan dan sebagainya. Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan pada usia menjelang kematian ini, bila mana uban sudah memenuhi kepala, tidak lagi berperanan penting di dalam masyarakat, malah seluruh badan sering lemah dan tidak mempunyai kekuatan seperti sebelumnya.

Pada usia sebeginilah seharusnya dilazimkan menyebut la ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin, “Tidak ada tuhan melainkan Allah. Maha suci Allah, sesungguhnya aku di kalangan orang yang melakukan kezaliman ke atas diriku sendiri.” Saad bin Abi Waqas RA meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah menyebut yang bermaksud, “Mahukah aku tunjukkan pada kamu nama Allah yang Maha Besar, doa Nabi Yunus AS? Mana-mana seorang muslim yang membaca doa ini, sewaktu sedang sakit hampir dengan kematian, sebanyak lebih kurang 40 kali di dalam hidupnya dan kemudian menemui kematian, Allah akan menganugerahkan pahala mati  syahid di jalan Allah kepadanya. Bahkan jika dia kembali sihat daripada kesakitan yang dialaminya, dia akan sembuh dengan sepenuhnya dan bebas daripada neraka Allah. Bahkan Allah SWT akan mengampunkan segala dosa-dosanya.”

Selain itu, perbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW pada setiap hari sekurang-kurangnya 1000 kali sehari, kerana sesungguh mereka yang berselawat kepada Baginda walaupun hanya sekali, Allah akan menyebut namanya sebanyak 10 kali banyaknya. Malah ia juga merupakan amalan yang terbaik di dalam keadaan kehidupan manusia pada setiap masa kerana Allah SWT dan para malaikat juga berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Perbanyakkan membaca surah al-Ikhlas pada usia yang semakin lanjut, kerana ia akan menjadi pendinding kepada manusia terutamanya ketika diri hampir nazak, kerana pada ketika inilah kita bakal menghadapi saat diuji dengan keyakinan terhadap Islam, dan akan disesatkan oleh syaitan sehingga tiba saat kematian.

Amalan lain yang perlu dilazimi ketika usia mencecah 60 tahun ialah sentiasa membaca kalimah, “Tidak ada tuhan melainkan Allah dan dialah yang Maha Besar daripada segala-galanya. Dan tidak ada kekuasaan dan tidak ada kekuatan kecuali Allah yang mempunyai kemuliaan dan penuh dengan ketakziman-Nya.” Dan dengan kelaziman amalan ini nescaya apabila menemui kematian kelak, dia tidak akan dimamah oleh neraka Allah SWT sampai bila-bila. Selain itu, bacalah zikir-zikir dan wirid yang di ajar Rasulullah SAW pada setiap masa dan ketika berasa diri hampir dengan kematian agar terselamat dari neraka. Malah, pastikan diri sentiasa berwuduk kerana besar ganjarannya terutamanya ketika dekat dengan kematian kerana apabila dibangkitkan semula pada Hari Akhirat kelak, kita akan dibangkitkan di dalam keadaan diri yang bersih dan sempurna.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 April 2018

\"\"

WhatsApp
Scroll to Top