Saidina Suhail bin Amru

AKHLAK seorang Muslim menjadi cermin kepada apa yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW sehinggakan dengan akhlak muslim itu berjaya menundukkan ego seorang tokoh pemidato terhebat dikalangan kaum Quraisy. Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai Suhail bin Amru.

Beliau merupakan pakar strategi dan bangsawan yang sangat utama di kalangan kaum Quraisy. Tidak akan berlaku sesuatu urusan penting di kalangan bangsa Quraisy selagi tidak mendapatkan pandangan daripada Suhail. Kerana kehebatan dan kemuliaan yang dimiliki oleh Suhail menjadikannya jauh daripada dakwah Rasulullah SAW. Beliau bukan sekadar berpaling daripada dakwah Islam yang disampaikan oleh Baginda SAW, bahkan beliau telah berusaha keras untuk menghalang manusia daripada jalan Alah SWT. Tidak kurang dengan itu, beliau juga antara golongan Quraisy yang menyeksa individu terawal yang memeluk agama Islam.

Satu tamparan yang sangat hebat, disebalik kekerasan yang dilakukan oleh Suhail terhadap kaum Muslimin, tidak pernah terlintas di fikiran beliau bahawa anaknya, Abdullah dan Ummu Kalsum akan memeluk Islam. Setelah itu, anak-anaknya itu telah berhijrah ke Habsyah untuk melarikan diri daripada seksaan kaum Quraisy dan serangan ayah mereka sendiri.

Satu ketentuan daripada Allah SWT, saat kaum Muslimin berada di Habsyah, telah sampai berita palsu mengatakan kaum Quraisy telah memeluk Islam. Dengan rasa rindu yang mendalam kepada keluarga, kaum Muslimin yang berada di Habsyah ingin pulang ke pangkuan keuarga mereka di Makkah. Dikalangan mereka yang pulang, Abdullah anak kepada Suhail. Tatkala beliau tiba di Kota Makkah, segeralah Suhail menangkapnya dan merantaikan kakinya serta memenjarakan beliau dalam satu bilik gelap di dalam rumahnya. Bahkan Suhail dengan bersungguh-sungguh menyeksa dan menderanya agar beliau meninggalkan Islam dan kembali kepada agama nenek moyang mereka. Akibat tekanan dan seksaan yang hebat, Abdullah dengan itu berpura-pura menyatakan beliau telah murtad.

Tidak lama sesudah itu, orang musyrikin telah berazam untuk menentang Rasulullah SAW di dalam peperangan Badar. Keluarlah Suhail untuk menentang Rasulullah SAW sambil ditemani oleh anaknya, Abdullah. Suhail sangat mengimpikan agar anaknya itu dapat berjuang dan menghunuskan pedang ke arah Rasulullah SAW. Takdir Allah SWT mengatasi apa yang diimpikan oleh Suhail. Ia tidak berlaku sebagaimana yang diimpikannya. Tatkala bertemu dua kumpulan di medan Badar, maka saat itu anaknya, Abdullah telah melarikan diri dan masuk ke dalam angkatan tentera Muslimin serta menghunuskan senjata ke arah ayahnya sendiri.

Saat kemenangan berpihak kepada tentera Muslimin, maka Rasulullah SAW memeriksa barisan tawanan kaum Quraisy dan saat itu Baginda memerhatikan seorang demi seorang serta dilihatnya Suhail bin Amru yang terikat tangannya. Ketika dibawa Suhail ke hadapan Baginda SAW dan beliau ingin menebus dirinya dengan sejumlah bayaran, maka ketika itu tampil Saidina Umar dan berkata “Wahai Rasulullah, izinkan aku sebelum dilepaskan Suhail untuk ku cabut dua batang gigi hadapannya agar beliau tidak dapat lagi mengumpulkan orang ramai dalam majlisnya mencerca Islam dan kaum Muslimin.” Baginda SAW kemudian tersenyum lalu berkata “biarkan kedua-dua giginya itu wahai Umar. Satu hari nanti ia akan menggembirakan engkau.” 

Tahun silih berganti, maka tibalah peristiwa pembukaan Kota Makkah. Di saat terdengarnya laungan oleh Kaum Muslimin, maka gentarlah hati Suhail ibn Amru. Beliau menceritakan “saat tiba Rasulullah SAW di Kota Makkah, ketika itu aku sendiri yang berkurung di dalam rumahku. Ku tutup segala pintu dan jendela. Bahkan ku utuskan utusan kepada anakku Abdullah untuk memanggil anakku itu dalam keadaan aku sagat malu untuk berhadapan dengannya.” Apabila Abdullah memasuki rumah, Suhail berkata “Wahai anakku Abdullah, pohonlah kepada Rasulullah SAW jaminan keamanan untuk bapamu. Sesungguhnya aku sekarang merasakan diriku tidak aman.” Ketika itu, seorang anak yang sangat baik yang mengharapkan keislaman ayahnya, lalu pergi Abdullah kepada Rasulullah SAW dan berkata “Ya Rasulullah. Sesungguhnya ayahku memohon agar diberikan jaminan keamanan untuknya. Demi Allah, aku datang untuk memohon keamanan tersebut buat bapaku Ya Rasulallah.” Rasulullah SAW berjanji bahawa dia mendapat keamanan daripada Allah SWT dan berpesan kepada para sahabat agar tidak merosakkan pertemuan sekiranya mereka bertemu dengan Suhail. Dek kerana layanan oleh kaum Muslimin terhadap beliau, maka Suhail kemudian memeluk Islam kerana jatuh cinta dengan akhlak yang dibawakan oleh kaum Muslimin.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 April 2018

\"\"

WhatsApp
Scroll to Top