Sebelum Menggigit Jari

PADA suatu masa nanti di dalam perjalanan hidup manusia, akan tiba masanya mereka akan dilanda penyakit penyesalan apabila menghampiri saat kematian sebagaimana di dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Furqaan, ayat 27-29: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: \”Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! \”Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”.

Penyesalan pertama bagi manusia ialah apabila melihat malaikat maut berdiri di hadapannya, lalu memohon agar ditangguhkan seketika kematiannya agar diberi peluang untuk bersedekah dan melakukan amalan salih. Sesungguhnya Allah tidak akan menangguhkan kematian manusia apabila tiba masanya dan lebih mengetahui perilaku hamba-Nya. Tanpa persiapan untuk menghadapi kematian, manusia akan berhadapan dengan penyesalan yang tidak berkesudahan. Dua keadaan yang akan berlaku kepada manusia ketika tiba saat kematiannya iaitu roh bagi orang-orang mukmin akan ditarik nyawanya dengan cara yang lembut, lalu berkumpul bagaikan air yang tidak bercampur dengan minyak, walaupun pada hakikatnya mereka juga menanggung azab kematian yang amat dahsyat.

Manakala satu lagi golongan manusia, apabila diseru rohnya untuk meninggalkan jasad maka rohnya akan bertempiaran lari, lalu direntap nyawanya di dalam keadaan kucar-kacir dihasut oleh syaitan untuk menyesatkan manusia ketika sampai ajalnya. Mereka akan dipujuk syaitan yang datang dengan menyerupai orang yang dikenali ketika hidupnya dahulu. Tiada lagi taubat yang diterima Allah apabila tiba masanya nyawa berada di halkum kerana segalanya sudah terlewat, manakala malaikat juga tidak dapat mencari walau satu pun kalimah syahadah di seluruh jasadnya dan berakhir hidupnya di dalam keadaan yang sia-sia. Namun sebaliknya bagi mereka yang disayangi Allah, bila malaikat mencari kalimah tersebut pada jasadnya ketika rohnya berada di halkum, malaikat akan menepuk di bawah dagunya sehingga tergerak lidahnya menyebut kalimah Allah, lalu keluar rohnya dan dimasukkan malaikat ke dalam bekas yang berwarna putih dan harum baunya yang dikhususkan untuk hanya untuk orang-orang mukmin.

Setelah ditentukan Allah kedudukan roh masing-masing sama ada di dalam syurga Illiyeen mahupun neraka Sijjin berdasarkan amalan ketika hidup mereka, lalu diuruskan jasadnya untuk dikebumikan dan disediakan untuk menghadapi alam barzakh. Setiap perkara yang berlaku ketika pengurusan jasadnya oleh mereka yang berada disekelilingnya akan dapat disaksikan oleh roh si mati. Di antara perkara yang pasti berlaku apabila jasad dikebumikan ialah terjadinya himpitan kubur dan tidak akan ada seorang pun di kalangan manusia yang akan terlepas daripadanya. Kemudian datangnya malaikat Mungkar dan Nangkir untuk menjalani sesi soal jawab ke atas si mati.

Pada ketika inilah mereka akan memohon dan merayu agar dihidupkan kembali untuk melakukan amal salih yang ditinggalkan ketika hidup di dunia dahulu. Sesungguhnya hanya penyesalan dan kekecewaan yang akan dirasai kerana mustahil mereka akan dihidupkan semula, malah akan terus kekal berada di alam barzakh sehingga dibangkitkan semula di hadapan Allah pada Hari Akhirat kelak. Namun sebaliknya bagi orang-orang mukmin, akan sentiasa ditemani oleh al-Quran yang akan menjadi pembela bagi dirinya ketika menghadapi sesi soal jawab oleh malaikat Mungkar dan Nangkir, lalu dilapangkan kuburnya seluas mata memandang.

Tidak ada seorang pun di kalangan orang mukmin yang akan meminta agar dihidupkan semula  kerana tidak lagi sanggup menanggung azabnya menghadapi kematian kecuali bagi mereka yang mati syahid. Tetapi mereka yang menyesali kematiannya dan merayu agar dihidupkan kembali adalah di kalangan manusia melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri dan mereka yang secara terang-terangan melawan syariat Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 April 2018
WhatsApp
Scroll to Top