Niat dan Bisikan Hati

PARA ulama berpendapat setiap amalan yang dilakukan dalam kehidupan mukmin adalah berasaskan kepada niat. Apabila sesuatu matlamat atau perkara yang digerakkan oleh niat pastinya akan mencapai matlamatnya. Dengan kata lain, sesuatu perbuatan yang bermula dengan niat yang baik akan menatijahkan pahala dan sesuatu perbuatan yang diasaskan oleh niat yang berlandaskan nafsu atau niat yang tidak baik akan mendatangkan dosa. Begitu besar kuasa dan pengaruh niat kepada seseorang mukmin.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi berkata sangat penting bagi seseorang mukmin memasang niat yang baik kerana niat adalah perkara utama yang dilakukan dan akan mendorong seseorang bertindak berdasarkan apa yang diniatkan. Bahkan niat jugalah yang akan membimbing seseorang mukmin untuk melaksanakan sesuatu perkara hingga mencapai kepada matlamatnya.

Seseorang yang tidak memasang niat terhadap apa yang ingin dilakukan umpama orang yang memandu kenderaan tanpa arah tujuan. Dengan ini sudah pasti arah perjalanannya tidak akan menuju ke mana-mana sebaliknya tidak akan tiba ke penghujungnya. Begitulah juga sebagai seorang mukmin niat atau matlamat hidup harus dipasak dan ditentukan agar tidak hilang pedoman kehidupan. Niat untuk melakukan sesuatu perkara kerana Allah SWT pastinya akan mendatangkan hasil yang akan mendapat keredaan Allah taala.

Diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya semua amal perbuatan dinilai mengikut niat dan setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dan wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrahnya itu. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Imam Ahmad dan Imam Syafi’i berkata dalam hadis tentang niat ini mencakup sepertiga ilmu. Ini kerana perbuatan hamba terdiri daripada perbuatan hati, lisan dan anggota badan, sedangkan niat merupakan salah satu bagian dari ketiga unsur tersebut.

Rasulullah SAW mengajar kepada umatnya untuk menuturkan doa-doa dan niat yang baik setiap hari kerana melalui kata-kata yang baik dan niat kerana Allah akan meletakkan hati mukmin hanya kepada Allah SAW. Ini kerana hati-hati yang jauh dari zikrullah dan tidak mengingati Allah akan menjauhkan hati dari mengingatiNya. Justeru, hati yang jauh dari pengharapan dan mengingati Allah akan menjadi keras lalu akan dikuasi oleh nafsu yang akan merosakkan diri mukmin.

Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: Padahal mereka tidak diperintahkan, melainkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus. Dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Niat yang benar-benar berkesan adalah apabila ianya hadir melalui ruang hati yang takut akan azab Allah taala. Oleh itu, setiap niat berlandaskan hati yang tulus ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran yang besar Allah taala. Niat yang dilakukan tanpa kebersihan hati sebaliknya mengharap penghargaan dan balasan manusia tidak akan membawa apa-apa erti sebaliknya akan menerima pembalasan api neraka yang menyakitkan.

Niat dari hati yang jujur sebagaimana yang terdapat dari beberapa kisah tauladan tentang insan-insan yang niat mereka disertai dengan nilai keikhlasan dapat mengubah kejahatan seorang pencuri, mendatangkan keinsafan seorang pelacur dan mengubah hidup seorang penzina melalui sedekah jariah yang dilakukan akibat dari niat yang jujur dan ikhlas kerana Allah. Sesungguhnya kuasa niat amat luar biasa kerana dengan izin allah taala sesungguhnya niat itu boleh mengubah seseorang yang jahat menjadi taat kepada Allah SWT.

Oleh itu, seseorang mukmin hendaklah sentiasa memperbetul dan memperbaharui niat agar dengan cara demikian dapat menjentik hati yang sering terleka oleh tipu daya nafsu yang melekakan manusia. Dengan niat yang baik hanya kerana Allah taala pastinya hati akan terdorong oleh tindakan dan matlamat yang akhirnya akan menatijahkan ketaqwaan kepada Allah SWT semata-mata.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Mac 2018
WhatsApp
Scroll to Top