Rawat Hati dengan Berpuasa

AMALAN puasa adalah salah satu bentuk ibadah yang bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Malah, ibadah puasa adalah satu bentuk latihan spiritual dan penyucian jiwa yang bertujuan mendidik hati agar dijauhi dari sifat-sifat mazmumah yang boleh menjerusmuskan seseorang mukmin ke lembah kemaksiatan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi berkata, amalan berpuasa telah diperintahkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat183-184 yang bermaksud; “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan, (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itu lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Jika dilihat dari kelebihan amalan berpuasa begitu banyak sekali dari segi kerohanian dan fizikal. Dari sudut kesihatan umpamanya, amalan berpuasa boleh mengawal masalah kesihatan seperti obesity, penyakit-penyakit tertentu yang menghinggapi manusia. Manakala dari segi ibadah pula matlamat dari amalan puasa bertujuan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan ketaatan terhadap setiap perintah Allah taala.

Sesungguhnya amalan berpuasa memberi banyak manfaat kebaikan kepada seseorang mukmin dari segi fizikal dan secara batin. Dari segi fizikal akan dapat menjaga kesihatan dengan baik manakala dari segi spiritual, berpuasa dapat merawat kekotoran hati serta menundukkan nafsu yang banyak mengajak manusia ke arah perkara-perkara yang tidak baik.

Dalam mengamalkan ibadah puasa terdapat adab dan cara yang perlu diikuti bagi mendapat kualiti puasa yang akhirnya memberi kesan yang baik bagi mukmin yang istiqamah melaksanakannya. Para ahli tasawuf membahagikan puasa kepada tiga jenis iaitu puasa awam, puasa khusus dan puasa khusus al khusus.

Puasa umum atau awam ialah menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat. Puasa tahap ini hanya puasa orang awam yang bertujuan untuk kesihatan dan sebagainya. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa.

Puasa khusus pula ialah puasa tahap kedua yang bertujuan untuk menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan perbuatan yang membawa kepada dosa. Puasa di tingkatan ini antara lain juga memelihara dan menjaga akhlak serta melakukan pekara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa.

Seterusnya yang terkahir adalah puasa khusus al-khusus iaitu di tahap yang paling tinggi. Puasa di tingkatan ini adalah menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari Allah. Puasa ini juga adalah puasa hati dari segala pemikiran kotor dan tidak lagi memikirkan perkara-perkara duniawi selain hanya memikirkan dan mengingati Allah semata-mata.

Bagi seseorang mukmin yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada Allah akan terlahir perasaan seronok dan bahagia dalam mengamalkan ketaatan kepadaNya sehingga seluruh lembaran hidup hanya mahu mengabdikan diri kepada Allah taala. Justeru, seseorang mukmin yang mujahadah dan istiqamahnya berada pada tahap yang tinggi ini, pasti dapat menikmati manisnya ibadah serta indahnya sebuah ketaatan. Lalu seseorang mukmin yang telah mencapai tahap ini akan dikurniakan Allah kebahagia, kelapangan dan ketenangan hati yang hakiki untuk terus beramal ibadah kepadaNya.

Sesungguhnya begitu banyak kelebihan mengamalkan ibadah puasa. Sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam riwayat Buhari, Allah SWT berfirman yang bermaksud  “Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untukku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran pahala padanya”. Amalan puasa yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT akan menatijahkan hati yang sentiasa dalam neraca keimanan dan pastinya ganjaran pahala yang hebat dari Allah taala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Mac 2018
WhatsApp
Scroll to Top