Sifat Memudahkan Urusan Manusia

DALAM rancangan Bayan Linnas di radio IKIMfm yang bersiaran pada hari Selasa jam 5 petang, Sahibus Samahah, Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri beliau terus mengambil kesempatan untuk membicarakan keunggulan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sesuai dengan masih lagi musim kita menyambut Maulidur Rasul.

Sifat Baginda SAW secara umumnya ialah bersifat “mudah dan memudahkan”. Disebut dalam suatu hadith yang mafhumnya daripada Aisyah RA, beliau menceritakan: “Tidaklah Rasulullah SAW disuruh memilih antara dua urusan melainkan beliau memilih yang paling mudah, selama tidak mengandung dosa. Bila mengandung dosa, beliaulah orang yang paling jauh darinya dan Rasulullah SAW tidak pernah marah sekalipun kecuali bila keharaman Allah dilanggar, beliau pun marah kerana Allah” (HR Bukhari & Muslim). Ini jelas menunjukkan Baginda SAW akan memilih yang mudah, bagi memudahkan masyarakat selama mana pilihan tersebut tidak mengandungi dosa. Banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menunjukkan betapa Allah SWT inginkah kemudahan kepada hambanya dan tidak ingin menyusahkan antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak menjadikan kesusahan bagimu dalam agama” (Surah al-Hajj:28:78).

Kalau kita ambil contoh mendirikan Solat misalnya. Hukum asalnya ialah mendirikan Solat dalam keadaan berdiri (qiyam) namun sekiranya seseorang itu sakit dan tidak mampu berdiri, maka Islam memberi rukhsah kemudahan untuk dia mendirikan Solat dalam keadaan duduk, dan jika tidak mampu dalam keadaan berbaring dan jika masih tidak mampu lagi dalam keadaan isyarat.

Pernah diriwayatkan juga bagaimana Baginda SAW memudahkan urusan ketika mengerjakan ibadat haji. Apabila selesai melontar jamrah pada Hari Raya Haji, Baginda SAW ditanya oleh Sabahat RA sebab ada di kalangan mereka yang berbuat amalan berbeza-beza selepas melontar, makan Rasulullah menjawab “buatlah, dan tidak menjadi salah”.

Kadangkala masyarakat kita suka untuk menyusahkan orang lain, menakutkan mereka sehingga akhirnya ia tidak ke mana dan lebih serabut sedangkan jika kita memudahkan nescaya ia lebih tenang dan boleh menyelesaikan banyak masalah, selama mana yang kita buat itu bukanlah sesuatu yang mudah dan berdosa. Perlu dibezakan antara suatu yang mudah dan berdosa, dengan mudah yang tidak berdosa. Kita tidak dibenarkan memilih sesuatu yang mudah sekiranya ianya berdosa, pilihan yang dimaksudkan di sini ialah apabila kita berhadapan dengan dua pilihan yang kedua-duanya harus dan tidak berdosa, di mana satu pilihan yang menyusahkan dan satu pilihan  lagi yang memudahkan. Dalam situasi sebegini, kita dianjurkan untuk memilih yang mudah agar tidak menyulitkan masyarakat. Inilah Sunnah Baginda SAW yang memudahkan keadaan. Pernah diriwayatkan oleh Aisyah RA berkata: “Suatu hari Nabi SAW masuk menemui aku dan bersabda: “ada apa-apa di sisi kamu (makanan)?”. Kami menjawab: “tiada”. Jawab Baginda SAW: “jika begitu, aku berpuasa”. Baginda SAW tidak pun melahirkan kemarahannya kepada isterinya Aisyah RA kerana tiada makanan, tetapi sebaliknya mengambil sikap mudah, berlapang dada lalu memilih berpuasa.  Sifat bersikap bermudah inilah amat penting bagi kita dalam menjamin keharmonian, kerukunan hidup bermasyarakat samada dalam rumahtangga, kerjaya mahupun hidup kita komuniti setempat.  Lawan kepada sifat bermudah dalam berurusan dengan masyarakat  ini kita boleh katakan bersifat menyusahkan orang lain. Mungkin kalimah “cerewet” juga sesuai untuk digunakan bagi menggambarkan sikap manusia yang suka menyusahkan orang lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Disember 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top