Mengukuh Keimanan di Jiwa Anak-anak

ALLAH menjadikan dunia ini sebagai medan ujian di sepanjang kehidupan manusia bermula usia mereka mencapai akil baligh.  Islam menuntut manusia untuk mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap jiwa anak-anak dan tidak membiarkan mereka hidup dengan jiwa yang songsang serta menyimpang daripada agama. Sandarkan segala tindakan dan urusan di dunia kepada al-Quran dan hadis terutamanya untuk mengukuhkan keimanan anak-anak, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “Mulakanlah pengenalan kalimah la ilaha illallah muhammadur rasulullah kepada anak-anak kamu”. Rahsianya ialah supaya kalimah tauhid itu dan syiar Islam merupakan perkara yang pertama sekali didengari oleh anak-anak yang baru dilahirkan kedunia.

Ketika anak-anak itu sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan haram, bersesuaian dengan apa yang telah disampaikan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir daripada hadis Ibnu Abbas RA, Rasulullah pernah bersabda, “Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, laranginya daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik. Apabila kamu telah melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka.”

Selain itu, sejak dari kecil dan apabila umurnya mencecah tujuh tahun ajarkan kepadanya untuk beribadah kepada Allah. Di antaranya ialah mengajarnya untuk solat dan mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza di antara satu sama lain. Pukullah mereka dengan tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10 tahun, asingkan tempat tidur mereka dan biasakan diri mereka untuk berpuasa atau mengerjakan haji sekiranya berkemampuan. Mendidik anak-anak untuk mendekati dan mengenali agama merupakan hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu-bapanya dan dapat melindungi dirinya agar sentiasa berada di dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Malah untuk mengukuhkan keimanan anak-anak yang sedang membesar, didiklah mereka agar mencintai Rasulullah dan keluarga Baginda, serta mengamalkan membaca al-Quran seawal usia mereka tiga tahun. Sebagaimana riwayat At-Tabbarani daripada Ali bin Abi Talib, Rasullullah SAW bersabda, “Didiklah anak-anak kamu pada tiga bahagian utama. Yang pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Yang kedua didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan yang ketiga, didiklah anak kamu dengan al-Quran.” Para ibu digalakkan mendidik anak-anak membaca al-Quran kerana suaranya yang lunak, dan dapat meluangkan lebih masa bersama mereka. Malah anak-anak lebih mudah menerima didikan daripada si ibu yang mentarbiyah dengan penuh keikhlasan dan sesungguhnya sesiapa yang hidup dengan al-Quran dia akan berada dibawah naungan Arasy Allah bersama para nabi dan mereka yang dinaungi oleh Allah SWT sahaja.

Namun begitu terdapat beberapa kesilapan di dalam didikan kedua ibu-bapa, iaitu apabila anak-anak dibiarkan dan diserahkan untuk menerima pendidikan di sekolah-sekolah missionary kerana mereka akan didedahkan dengan asas pendidikan yang menyesatkan. Para ulama berpandangan anak-anak ini akan cenderung untuk diasak dengan bibit-bibit kekufuran atau lama-kelamaan akan menjadi atheis. Akhirnya akan tertanam di dalam dirinya perasaan untuk membenci agama dan umat Islam sendiri hasil daripada kesilapan di dalam pendidikan awal mereka. Situasi ini sangat berleluasa pada ketika ini kerana ramai di kalangan umat Islam yang mempertikai tentang agama kerana terpengaruh dengan ajaran guru-guru yang membuatkan mereka ragu-ragu dengan Islam.

Membiarkan anak-anak terdedah kepada bahan bacaan yang berbaur kesesatan merupakan di antara kesilapan yang dilakukan oleh ibu-bapa kerana tanpa sebarang kawalan ia akan merosakkan pemikiran mereka. Melalui penulisan-penulisan ini para pendakwah agama lain akan mempergunakan anak-anak ini untuk membesar dengan pegangan akidah yang lemah malah memandang rendah kepada sejarah perkembangan agama Islam dan akhirnya menjadi musuh yang menentang prinsip-prinsip beragama dan berpaling kepada ajaran Islam yang hakiki. Ia termasuklah bahan-bahan yang ditulis oleh golongan yang liberal dan sekular serta mereka yang terpengaruh kepada fahaman sedemikian yang akhirnya merosakkan pemikiran anak-anak orang mukmin yang jauh daripada didikan guru-guru yang alim dan salih.

Kebebasan bergaul tanpa batasan juga akan merosakkan anak-anak kerana kesilapan yang dilakukan oleh ibu-bapa mereka. Kerosakan akhlak di kalangan anak-anak berlaku tanpa mengira peringkat usia, malah pada usia yang masih muda sudah terjebak untuk melakukan pelbagai jenayah berpunca daripada ibu-bapa yang gagal mengawal perlakuan mereka. Pada malam hari iaitu pada waktu sepatutnya anak-anak berada di rumah, tetapi sebaliknya mereka masih berkeliaran, melepak dan melakukan kegiatan maksiat. Keadaan ini akan menyebabkan perkembangan anak-anak menjadi semakin buruk pada masa akan datang dan kemusnahan keimanan yang sangat besar.

Oleh itu untuk mengukuhkan keimanan di dalam diri anak-anak, tanamkan mereka dengan rasa khusyuk, taqwa dan sifat kehambaan kepada Allah sejak mereka masih kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka mendirikan solat iaitu mendidik mereka untuk memberi sepenuh perhatian kepada ibadah. Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan mereka bahawa orang mukmin yang berjaya bukanlah mereka yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi sebaliknya ialah mereka yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 November 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top