SETIAP manusia yang lahir di dunia adalah di dalam keadaan fitrah, namun ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Kristian. Islam memberi panduan kepada manusia agar tidak tergolong di kalangan tersebut dan mengajar supaya manusia tidak menjadikan anak yang baru lahir berada di dalam keadaan kotor dan tidak baik. Sesungguhnya detik manusia di lahirkan itu adalah masa yang sangat penting dalam Islam kerana ia juga bakal menentukan sama ada anak itu menjadi tokoh di dalam masyarakat dan contoh dalam perjalanan kehidupan di akhirat kelak atau seorang yang buruk di dalam perjalanan kehidupannya serta menjadi bebanan kepada masyarakat.
Manusia juga seringkali mengharapkan agar dikurniakan anak yang soleh walaupun pada hakikatnya mereka bukanlah di kalangan manusia yang baik kerana fitrah manusia itu sendiri yang inginkan kepada kebaikan dan mengimpikan ganjaran syurga. Anak-anak yang dilahirkan ke dunia adalah anugerah daripada Allah yang tidak ternilai harganya kepada manusia malah keistimewaan ini hanya diberikan kepada golongan tertentu sahaja. Ada yang mengharapkan agar dikurniakan zuriat tetapi permintaan mereka tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Di dalam Islam digalakkan agar umatnya melahirkan zuriat yang ramai, malah Rasulullah SAW menggariskan bahawa keberkatan sesebuah rumahtangga itu adalah bergantung kepada tiga perkara iaitu mudahnya urusan di dalam perkahwinan, murahnya hantaran perkahwinan dan kesanggupan untuk melahirkan zuriat yang ramai. Rasulullah SAW berbangga pada Hari Akhirat kelak terhadap umatnya yang memiliki zuriat yang ramai.
Melalui slot Mau’izati yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, di radio IKImfm Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani turut menerangkan pentingnya melahirkan zuriat yang ramai di dalam keluarga muslim. Apabila dikhabarkan tentang kehamilan sehinggalah seorang anak itu dilahirkan ke dunia, ia haruslah dimulakan dengan menyebarkan khabar gembira tersebut dan saling menyampaikan ucapan tahniah. Seorang wanita yang mengandungkan anaknya akan dilimpahi dengan ganjaran pahala dan dikafarahkan segala dosanya sehingga tiba saat dia melahirkan.
Apabila lahirnya zuriat, umat Islam digalakkan untuk mengucapkan tahniah serta menzahirkan kegembiraan di kalangan mereka. Malah Allah SWT turut mengucapkan tahniah kepada Nabi Zakaria sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Imran ayat 39: “Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): \”Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”. Sesungguhnya setiap pasangan ibu-bapa yang baru melahirkan zuriat akan melalui saat sukar, maka gembirakanlah mereka dengan menyampaikan ucapan tahniah agar ia dapat menguatkan lagi semangat mereka untuk meneruskan kehidupan berkeluarga. Kehidupan orang mukmin juga seharusnya memberi kekuatan di antara satu sama lain.
Islam menganjurkan agar diazan di telinga kanan dan diiqamahkan di telinga kiri setiap bayi yang baru lahir sebagaimana pesanan oleh Rasulullah SAW, kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan di antaranya ialah supaya bayi itu tidak diganggu oleh syaitan Ummu Shibyan. Setiap bayi yang baru dilahirkan menggenggam tangan mereka kerana masih berpegang dengan janji kepada Allah SWT ketika berada di alam roh di dalam kandungan ibunya. Roh mereka ditanya oleh Allah, “Adakah kamu mengakui bahawa Aku ini tuhanmu?”. Lalu semuanya akan menjawab, “Ya, kami mengakui bahawa Kamu adalah tuhan kami”. Tapi setelah dilahirkan ke dunia, ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan mereka.
Bayi yang lahir akan menangis sejurus selepas keluar daripada kandungan ibunya kerana ketakutan mereka untuk menghadapi perjalanan kehidupan di dunia. Maka dengan mengazankan di telinga bayi itu akan memberikan kekuatan kepada jiwa dan keyakinan mereka kepada Allah. Malah ia juga akan menghalau syaitan yang berada di sekelilingnya. Amalan mengazankan bayi juga merupakan dakwah kepada jiwa mereka yang turut mendengarnya pada ketika itu.
Anak-anak yang lahir di dalam keadaan yang bersih, oleh itu berhati-hatilah di dalam mendidik mereka agar dapat membesar ke arah kehidupan yang di ajar oleh agama. Bayi yang baru lahir juga disunatkan supaya ditahnikkan iaitu dengan mengunyah kurma lalu disuapkan ke mulut bayi tersebut. Tahnik dilakukan oleh orang-orang yang salih, semoga bayi itu beroleh keberkatan dan mudah-mudahan mereka juga tergolong di kalangan orang yang salih.
Selepas itu disunatkan menggunting rambut atau mencukur kepala bayi yang baru lahir, lalu rambut itu ditimbang dengan nilaian perak dan hasilnya dibahagi-bahagikan dengan bersedekah kepada fakir miskin atau diadakan jamuan dan diberi makan kepada jemputan yang hadir. Ketika menggunting rambut bayi bacakanlah doa memohon agar anak itu menjadi anak yang salih, digugurkan dosa-dosanya setiap kali anak itu melakukan perbuatan yang tidak baik dan semoga diberi petunjuk kepada jalan kembali kepada Allah SWT. Sebaik-baiknya bayi itu dicukurkan kepalanya oleh keluarga yang terdekat, sama ada ayah atau ibunya sendiri. Riwayat daripada Muhammad bin Ali bin Hussin menyebut, pernah berlaku Rasulullah telah melakukan akikah dengan seekor kambing kepada al-Hassan dan kemudian seekor lagi. Lalu Baginda menyebut kepada Fatimah, “Kamu sendiri wahai ibu, cukurkan kepala anakmu. Kamu timbang rambut Hassan itu dengan timbangan perak, maka apabila ditimbang sama ada nilaiannya setengah atau satu dirham.” Setelah itu namakanlah bayi itu dengan nama-nama yang baik.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Oktober 2017