Hijrahlah atau Dihijrahkan

SEBAGAI seorang mukmin, seharusnya mereka meraikan saat-saat tibanya tahun baharu dengan memuhasabahkan diri agar dapat menilai kembali tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT, selain memahami kehidupan ini sentiasa bergerak menuju saat dipanggil kembali menghadap-Nya. Tidak sama sekali ia memberi pengertian bahawa panjangnya umur manusia di dunia ini semakin kekal kehidupan mereka, tetapi sebaliknya semakin lama semakin hampir kepada pengakhiran. Sesungguhnya apabila Allah menciptakan langit dan bumi, diciptakan juga tempoh selama 12 bulan yang perlu ditempuhi manusia untuk setahun kehidupan di dunia ini, supaya mereka mengetahui bahawa semakin lama mereka hidup, maka semakin hampir tibanya waktu untuk dihijrahkan oleh Allah.

Tibanya tahun baharu yang dimulakan dengan bulan Muharam, ia dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang akan menjadikan orang mukmin berasa dekat dengan Baginda. Walaupun dengan jarak waktu yang sangat jauh iaitu hampir 1400 tahun lamanya dengan Rasulullah, tetapi setiap kali tibanya tahun baharu hijriah ia akan sentiasa mengingatkan manusia tentang Baginda. Peristiwa hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal, tetapi menurut para ulama ia dijadikan titik permulaan di dalam kehidupan umat Islam.

Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, hidup ini memerlukan penghijrahan dan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik dan elakkan kehidupan yang statik. Rasulullah mengingatkan bahawa tidak akan ada lagi penghijrahan selepas pembukaan Kota Mekah, namun yang tinggal ialah kesungguhan dan jihad serta perasaan untuk mengubah diri. Pilihlah untuk berhijrah ke syurga yang seharusnya menjadi keutamaan kepada setiap insan di dunia ini dan jadikan diri menjadi semakin dekat dengan Allah SWT. Mulakan hijrah ke atas diri sendiri untuk melakukan amalan yang akan membawa kita ke syurga.

Untuk memulakan hijrah, kuatkan keyakinan diri kepada agama Allah terlebih dahulu. Kerana apa yang dapat dilihat kini, manusia lebur terhadap keyakinan mereka kepada Allah di dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Keyakinan diri yang kuat terhadap Allah akan membawa manusia kepada husnul khatimah atau pengakhiran hidup yang baik kerana mereka tidak akan berani untuk melanggar perintah Allah dan melakukan maksiat. Seterusnya berhijrahlah ke arah melaksanakan ibadah dengan lebih baik dan mantap terutamanya ibadah solat dan ibadah khusus yang lain.

Selain itu baikilah akhlak agar menjadi mukmin yang sejati. Apa yang dapat dilihat sejak akhir-akhir ini, berlaku kehancuran di dalam akhlak manusia dengan adanya anasir-anasir luar seperti dadah, arak dan lain-lain. Ia akan melahirkan generasi yang tidak lagi menghormati ibu-bapa, menghina para alim ulama tanpa rasa segan silu, tidak berbudi bahasa dan tidak berakhlak sesama manusia. Pada hakikatnya kehidupan di dunia semakin suntuk dan seharusnya berhijrahlah dengan melakukan muhasabah diri kerana tidak ada manusia yang sempurna. Dengan adanya kesedaran terhadap kekurangan ke atas diri manusia dan perlunya diri memperbaiki kecacatan tersebut, maka ambillah kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk menempuhi tahun baharu dengan keazaman melakukan perkara-perkara yang baik.

Berhijrahlah untuk membentuk keluarga yang lebih baik dan luar biasa kerana dapat memberi kebaikan kepada keluarga orang lain iaitu memiliki suami dan isteri yang salih, anak-anak yang dibesarkan dengan suasana al-Quran dan saling ingat-mengingati serta membantu di antara satu sama lain untuk menuju syurga Allah. Malah sentiasa memberi peringatan tentang matlamat sebenar di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, kerana sesungguhnya ia bukan hanya untuk memberi keseronokan semata-mata tetapi sebaliknya setiap kali sebuah keluarga itu dibina, maka mereka sedang membina generasi untuk menjadi penghuni syurga dan akan menjauhkan unsur-unsur maksiat di dalam keluarga mereka.

Di kalangan masyarakat juga perlunya penghijrahan untuk menjadi masyarakat yang dikurniakan keampunan oleh Allah dan mampu mewujudkan kehidupan yang bersatu untuk melakukan kebaikan serta bantu-membantu membina negara yang sejahtera. Manusia akan kembali kepada agama Allah dan sentiasa bersaing untuk melakukan amalan terbaik di kalangan mereka, berasa damai dan indah dengan mengamalkan cara hidup Islam di dalam pelbagai sudut kehidupan sama ada dari segi ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan lain-lain. Apabila manusia kembali beriman dan bertakwa kepada Allah, mereka akan dikuniakan keberkatan daripada langit dan bumi. Namun apabila perintah Allah dimungkari, segala nikmat akan direntap daripada kehidupan mereka.

Sesungguhnya penghijrahan diri, keluarga, masyarakat dan negara, seharusnya ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Elakkan penghijrahan hanya untuk mengejar kemewahan harta benda, pangkat dan keturunan kerana hakikatnya tindakan mereka itu jauh daripada keredhaan Allah. Hanya dengan redha Allah, akan turunnya rahmat dan bumi yang penuh dengan kebaikan serta keampunan daripada-Nya yang mencurah-curah. Sekiranya manusia gagal dan enggan berhijrah menuju Allah, mereka akan menghadapi kesulitan apabila dihijrahkan secara paksaan oleh Allah SWT. Akhirnya mereka akan tergamam di saat dihijrahkan Allah iaitu apabila digerakkan daripada satu alam ke alam yang lain dan sesungguhnya kematian itu pasti untuk setiap manusia yang hidup di muka bumi ini.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 September 2017

\"\"

WhatsApp
Scroll to Top