Erti Kejayaan di Perjalanan Hidup

ADA kejayaan di dunia ini yang bersifat sementara serta tidak membawa kepada nikmat perjalanan di dalam hidup manusia. Islam memandang sesuatu kejayaan itu lebih besar berbanding apa yang dibayangkan, malah saban hari manusia diajak untuk menuju kejayaan sebagaimana yang terdapat di dalam laungan azan yang berkumandang. Kejayaan hidup di dunia tidak dinilai dengan rupa paras, mendapat kedudukan di dalam masyarakat dan lain-lain kerana ia hanyalah kepalsuan dan membuatkan manusia hidup di dalam fantasi semata-mata. Tetapi hakikat kejayaan sebenar ialah apabila seseorang itu mampu mengolah dirinya menjadi mukmin dan mengimani segala perintah Allah SWT.

Selain itu, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm turut berkongsi di antara kejayaan sebenar bagi manusia ialah apabila mampu membersihkan hati mereka. Beruntunglah manusia yang sentiasa membersihkan jiwanya dan rugilah mereka yang hidup di dalam keadaan membiarkan jiwanya penuh dengan kekotoran. Ramai juga di kalangan manusia yang memilih jalan hidup menuju kegagalan apabila tidak mampu mendirikan solat dan tidak melakukan ibadah yang menunjukkan ketaatan kepada Allah. Allah juga mengingatkan manusia bahawa mereka yang berjaya adalah mereka yang semakin khusyuk di dalam solatnya, mampu menundukkan wajahnya untuk menyembah dan merasai besarnya ciptaan Allah dan akhirnya akan kembali mengadap-Nya.

Namun di dalam menjalani kehidupan di dunia, hati manusia terlalu mudah dikotori dengan dosa-dosa yang akan meninggal noda dan titik hitam. Hati manusia yang dipenuhi titk-titik hitam menyebabkan hilangnya nikmat kekhusyukan di dalam solat, nikmat ketika membaca al-Quran atau ketika mendengar kuliah agama dan segalanya berpunca daripada hati yang kotor. Ia akan juga akan merosakkan hubungan di antara manusia dan merasai kurang selesa apabila bersama-sama orang lain kerana puncanya daripada hati yang sedang bermasalah.

Berusahalah membersihkan hati untuk mencapai kejayaan kedua sebagai seorang hamba, iaitu apabila tibanya masa hampir seseorang itu dengan kematian. Berjayanya manusia apabila menemui husnul khatimah dan dipilih Allah untuk menjadi hamba kepada-Nya yang mampu diperolehi manusia melalui tiga cara. Iaitu menemui ajal pada masa yang baik, memilih tempat yang baik dan pada suasana yang baik. Rasulullah juga berpesan agar memperbanyakkan doa agar dimatikan di dalam husnul khatimah dan mengelakkan diri daripada menemui pengakhiran yang buruk.  Kemampuan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah hanya di kalangan mereka yang tertentu sahaja kerana ia tidak berlaku melalui kaedah hafazan tetapi ia diucap melalui amalan.

Sukarnya manusia menemui pengakhiran yang baik di dalam hidupnya kerana mereka tidak mengejar kejayaan sebenar. Sebelum menemui ajal, seharusnya berubahlah dengan menggambarkan keadaan diri ketika kembali untuk mengadap Allah. Rasulullah juga mengingatkan supaya perbanyakkan di dalam hidup manusia dengan menyebut sesuatu perkara yang mampu menghancurkan kelazatan terhadap dunia iaitu sentiasa menyebut tentang kematian. Ketika tiba saat untuk kembali mengadap Allah, manusia tidak lagi dapat dibantu oleh sesiapa termasuklah sangkaan buruknya kepada Allah. Pada saat getir itu, syaitan akan menghampiri untuk merosakkan hubungan manusia dengan Allah. Sesiapa yang berburuk sangka dan benci untuk bertemu Allah, maka Allah juga akan benci bertemu dengannya. Namun kepada mereka yang merindui untuk bertemu dengan-Nya, maka Allah juga sangat menginginkan untuk menemui mereka.

Simbol kejayaan apabila hampirnya saat kematian ialah datangnya malaikat dan mengisytiharkan kepada dirinya, “Wahai hamba Allah, janganlah kamu berasa takut dan berdukacita. Allah khabarkan berita gembira untuk dirimu, syurga Allah yang dapat kamu lihat di saat kamu akan mengadap di hadapan Allah.” Kegembiraan bagi mereka yang beroleh kejayaan ini ketika saat tiba ajalnya dapat dilihat pada wajah mereka, sehingga ada yang berkeringat di dahinya, malah ada juga yang menitiskan airmata. Pada saat ini jugalah, malaikat akan menyeru, “Wahai jiwa yang tenang, pulanglah kamu kepada Allah, di dalam keadaan Allah redha kepadamu dan kamu redha dengan ketentuan Allah; masuklah kamu di kalangan hamba-Ku dan masuklah kamu kedalam syurga-Ku.”

Kejayaan seterusnya kepada manusia ialah apabila berada di alam barzakh tidak ada sebarang azab kubur ke atas dirinya dan tiada pertanyaan daripada malaikat Mungkar dan Nangkir. Setelah mengalami himpitan kubur, liang lahadnya berubah menjadi lapang seluas 70 hasta, cantik kehijauan dihiasi pokok-pokok dengan bauan raihan. Di antara manusia yang berpeluang beroleh ganjaran seperti ini ialah di kalangan mereka yang mati syahid di jalan Allah. Malah mereka yang mengamalkan bacaan surah al-Mulk juga tergolong di kalangan manusia yang berjaya di alam barzakh nanti.

Selain itu, manusia yang mampu menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nangkir juga merupakan manusia yang beroleh kejayaan. Mereka yang tidak dapat menjawab persoalan daripada kedua-dua malaikat itu akan mengalami azab siksa yang dahsyat, dipukul dan dipalu berhari-hari sehingga hancur tulang belulangnya berdasarkan kepada keadaan amalan yang dikerjakannya sewaktu hidup di dunia dahulu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 September 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top